JENAYAH & MAHKAMAH

Sprm Tahan Bapa Dan Anak, Disyaki Guna Dokumen Palsu Bekal Minyak Masak

27/02/2024 01:15 PM

ALOR SETAR, 27 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan dua lelaki selepas disyaki menggunakan dokumen palsu bagi tujuan pembekalan minyak masak, empat tahun lepas.

Sumber SPRM memberitahu suspek merupakan bapa dan anak bapa berusia 50-an dan 20-an dan mereka ditahan 7.30 malam semalam dan 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah di sini.

Menurut sumber, suspek disyaki menggunakan dokumen tuntutan bayaran yang mengandungi butir matan palsu bagi tujuan pembekalan minyak masak di sekitar Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, sedangkan bekalan tersebut tidak dilaksanakan.

"Kedua beranak ini disyaki menggunakan lesen syarikat tempat mereka bekerja untuk membuat tuntutan palsu subsidi minyak masak peket satu kilogram dari sebuah kementerian di antara Jun dan Julai 2020.

"Tuntutan tersebut mengandungi butir matan palsu bagi tujuan pembekalan minyak masak kepada premis peruncit dan pemborong di sekitar Kedah, Perlis dan Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Ahmad Nizam Ismail mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18  Akta SPRM 2009.

Beliau berkata bagaimanapun kedua-dua suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan direkodkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan