AM

Kkm Perjelas Salah Tanggapan Mengenai Perkhidmatan Kardiologi Di Malaysia

27/02/2024 12:10 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Institut Jantung Negara (IJN) bersama hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus berfungsi sebagai pusat rujukan untuk pesakit yang memerlukan perkhidmatan kardiologi dan kardiotorasik, termasuk bagi penjawat awam, pesara dan tanggungan, dengan pihak kerajaan menanggung kos rawatan mereka.

KKM dalam kenyataan hari ini berkata sepanjang dua dekad lepas, IJN dan KKM kekal sebagai rakan kongsi berterusan dengan lJN menyokong hospital awam melalui rujukan pesakit, dan pada masa ini 10 hospital KKM menawarkan perkhidmatan kardiologi, dan tujuh menyediakan perkhidmatan kardiotorasik di seluruh negara.

“Hospital KKM juga serba lengkap dan dianggotai pakar-pakar perubatan serta pakar bedah bertauliah, menawarkan perkhidmatan yang setanding dengan IJN.

“Strategi merujuk kes-kes rumit dan kritikal kepada IJN bertujuan mengoptimumkan penggunaan sumber, di samping memastikan ada akses untuk orang awam mendapat perkhidmatan di hospital KKM. Sehubungan itu, berkongsi beban pesakit dengan IJN tidak boleh disalah anggap sebagai sebarang bentuk ketidakupayaan di pihak hospital KKM,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya kenyataan ini dikeluarkan sebagai respons kepada satu artikel dalam sebuah portal CodeBlue semalam, yang antara lain membayangkan bahawa IJN telah merujuk pesakitnya dalam kalangan penjawat awam dan pesara, ke hospital KKM sebagai salah satu usaha kerajaan mengurangkan kos.

Sepucuk surat oleh seorang pesara kerajaan yang tidak dinamakan disiarkan portal itu antara lain mengatakan bahawa pesara berkenaan mendakwa dia dibenarkan keluar wad (discharged) selepas menerima rawatan rapi di IJN.

Dalam kenyataan hari ini, KKM berkata pesakit dibenarkan keluar (discharged) dari IJN hanya apabila keadaan mereka stabil, dengan tempoh pemantauan sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun untuk orang dewasa dan satu hingga dua tahun untuk kanak-kanak; dan pesakit-pesakit yang telah stabil ini kemudiannya kembali ke hospital-hospital KKM untuk rawatan berterusan di bawah jabatan kardiologi dan kardiotorasik.

Menurutnya pendekatan strategik ini membolehkan kira-kira 4,000 pesakit baharu dirujuk ke IJN setiap tahun, memaksimumkan keberkesanan kos.

“Adalah wajar untuk menekankan bahawa kos yang berkaitan dengan rujukan pesakit ke IJN ditanggung oleh pembiayaan persekutuan yang disediakan oleh Kementerian Kewangan.

"Dengan perbelanjaan untuk rujukan ini meningkat setiap tahun, langkah kawalan kos yang berhemat adalah penting untuk merawat seramai mungkin pesakit dengan sumber sedia ada, memastikan keadilan kepada pembayar cukai," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan