AM

Mapim Gesa Badan Antarabangsa Hantar Kapal Dengan Muatan Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza

27/02/2024 12:55 AM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini menggesa badan antarabangsa bagi melaksanakan tekanan secara global untuk memasuki Gaza, Palestin dengan menghantar sekumpulan kapal membawa bantuan kemanusiaan.

Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid berkata dalam satu kenyataan ini adalah kerana gerakan dengan kapal flotila melalui Laut  Mediterranean dilihat sebagai satu sahaja laluan untuk ke Gaza. 

“Semua negara yang mampu dan sanggup menyertai dalam menghantar kumpulan kapal mereka yang membawa bantuan kemanusiaan yang dihalang daripada memasuki Gaza.  Gesaan untuk satu tindakan bersepadu bagi menghantar bantuan kemanusiaan kepada 1.5 juta penduduk di Gaza yang kebuluran dan menjadi pelarian tidak sepatutnya ditangguhkan lagi.

Semua kerajaan yang meminta supaya dilaksanakan gencatan senjata tidak seharusnya teragak-agak menyertai langkah terakhir ini untuk menyelamatkan Gaza daripada  pembunuhan beramai-ramai. Tekanan antarabangsa perlu dilakukan bersungguh-sungguh untuk memaksa sekatan di Gaza dibuka dan penyaluran bantuan harus dilanjutkan dengan serta-merta,” katanya. 

Pada masa sama, Mohd Azmi berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan semua agensi antarabangsa gagal mengekang jenayah genosid rejim Israel di Gaza.

Beliau menegaskan Israel mengenakan kepungan yang menjejaskan Semenanjung Gaza sejak 2006 yang menggugat penjagaan kesihatan paling asas, makanan, air minum, juga infrastruktur penting untuk membantu kehidupan.

Beliau berkata sejak 7 Okt 2023, kemusnahan infrastruktur dan kehilangan nyawa daripada pengeboman dan sekatan ke atas bantuan kemanusiaan telah mengakibatkan malapetaka yang dahsyat di Gaza.

“Pembunuhan beramai-ramai paling kejam ke atas warga Palestin di Gaza dalam lebih dari 140 hari, malah semasa perbicaraan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Israel telah melaksanakan  pengeboman tidak henti-henti meragut ratusan nyawa setiap hari.

Serangan selama lima bulan dengan lebih daripada 29,000 kematian orang awam (termasuk lebih 15,000 kanak-kanak) dan 70,000 mangsa cedera adalah lebih daripada cukup untuk merumuskan bahawa Israel melakukan jenayah perang  dan jenayah terhadap kemanusiaan yang amat kejam,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan