JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Maut Ditetak Dalam Kedai Kopi Di Kulim

25/02/2024 11:32 PM

ALOR SETAR, 25 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki maut dipercayai akibat ditetak menggunakan senjata tajam dalam kejadian di sebuah kedai kopi di Taman Damai, Padang Serai dekat Kulim hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim DSP Safuan Md Noor berkata dalam insiden pada kira-kira 1.20 tengah hari itu, mangsa yang berusia 27 tahun telah diserang oleh dua lelaki bersenjatakan parang dan sabit.

“Mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori telah dikejar oleh kedua-dua suspek dari luar kedai. Mangsa yang cuba menyelamatkan diri dengan memasuki sebuah kedai kopi bagaimanapun telah ditetak sehingga rebah sebelum meninggal dunia di dalam kedai kopi berkenaan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian tangan, dada, belakang badan dan muka akibat kesan serangan menggunakan senjata tajam itu. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengesan kedua-dua suspek masih dijalankan.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk menghubungi ASP Azmirul Abd Aziz di talian 019-4446 521 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim di talian 04-4906 222,” katanya sambil menambah siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan