AM

3,000 PELAJAR DI PARLIMEN BANDAR TUN RAZAK TERIMA SUMBANGAN 'BACK TO SCHOOL'

25/02/2024 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Sejumlah 3,000 pelajar dari 29 sekolah rendah dan menengah sekitar Parlimen Bandar Tun Razak menerima sumbangan persediaan persekolahan menerusi program 'Back To School' di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata program itu bertujuan untuk meringankan beban kewangan yang ditanggung ibu bapa dalam melakukan persediaan rapi untuk anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan Mac depan.

"Saya berbangga dan berterima kasih kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Yayasan Bank Rakyat (YBR) kerana memberi sumbangan kepada murid sempena kembali ke sekolah. Bagi saya, pendidikan itu adalah benteng kita untuk mengelakkan rakyat daripada terjerumus dalam kancah kemiskinan.  

"Kita akan teruskan program sebegini di Bandar Tun Razak termasuklah kawasan-kawasan lain khususnya yang mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi," katanya ketika berucap pada program 'Back to School' di sini.

 Senada itu, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pemberian sumbangan berbentuk baucar bernilai RM100 itu dapat memastikan kebajikan murid-murid terjamin khususnya dalam aspek pendidikan dan kesihatan.

Menurutnya, program itu juga dilihat sebagai nilai tambah kepada program Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang dilaksanakan oleh kerajaan baru-baru ini. 

"Sebelum ini, kerajaan telah beri bantuan RM150 kepada setiap murid menerusi program BAP. Kini, kita beri RM100 baucar kepada ibu bapa untuk membantu mereka membeli barang keperluan sekolah yang rapi untuk anak-anak," katanya.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin dan Timbalan Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi. 

Azman berkata jumlah murid yang menerima sumbangan 'Back To School' pada tahun ini meningkat kepada 3,000 berbanding 2,000 murid tahun lepas hasil sumbangan dan komitmen oleh rakan-rakan strategik termasuk AIM dan YBR.

Katanya, setiap murid menerima baucar bernilai RM100 manakala murid di bawah AIM menerima baucar RM150 yang boleh digunakan untuk pembelian kelengkapan sekolah di Pusat Pakaian Hari-Hari.

Terdahulu, simbolik penyerahan replika cek bantuan sumbangan AIM yang bernilai RM75,000 dan YBR bernilai RM100,000, disempurnakan oleh Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan