AM

Kerajaan Akan Perkenal Program Pertanian Bersasar Di Bandar - PM

25/02/2024 06:02 PM

KUALA SELANGOR, 25 Feb (Bernama) -- Kerajaan akan memperkenal program pertanian bersasar di bandar sebagai anjakan kepada pengeluaran hasil pertanian negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan program pertanian bandar di negara jiran Singapura wajar diteroka serta dicontohi di kawasan kekurangan tanah di bandar dan pinggir bandar dengan permulaan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan kementerian lain bersama agensi berkaitan diberi tempoh sebulan untuk mengemukakan perancangan yang sesuai bagi program itu.

“Di samping kita teruskan usaha sedia ada bidang pertanian, kita juga perlu tumpukan kepada pengeluaran pertanian di bandar dengan fokus kepada penglibatan golongan miskin bandar.

“Saya juga minta menteri (berkaitan) meneliti perkara ini termasuk menyediakan peruntukan tambahan khas dalam bidang ini bagi meningkatkan kegiatan pertanian di bandar,” katanya semasa sesi dialog Malaysia MADANI pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar merasmikan majlis penutup program itu yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan Menteri Kabinet.

Menyentuh mengenai penyasaran subsidi, Perdana Menteri berkata langkah yang bakal diumum oleh kerajaan tidak akan membebankan rakyat terutama kumpulan B40 dan M40.

“Kalau kita naikkan (harga) minyak mentah atau minyak masak, katakan RM2, kita tidak bebankan pengguna. Maknanya, B40 dan M40 tidak perlu bayar tambahan kerana kita masukkan dalam akaun mereka.

“... jadi, daripada Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kita bagi RM20 (kepada kumpulan B40 dan M40). Jangan bimbang, harga minyak sama bagi kumpulan ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata pendekatan itu dapat menyelamatkan berbilion ringgit kerana sejumlah 3.5 juta warga asing di negara ini dan golongan maha kaya turut menggunakan subsidi diberikan kerajaan ketika ini.

“Kalau kita tidak tukar cara kita bagi subsidi untuk bantu rakyat, dari segi minyak katalah sekarang ini diesel kemudian RON95 yang kita bagi itu, orang asing juga dapat subsidi kerajaan tetapi dia tidak bayar cukai, kemudian maha kaya pun dapat.

“Saya kata tak boleh ke kita fikir cara lain, kalau naik RM1, RM2 harga minyak tetapi kita tampung balik…masukkan (subsidi bersasar) dalam akaun rakyat kategori B40 dan M40,” katanya sambil menambah penyasaran subsidi akan dapat membantu dan tidak menjejaskan 80 peratus rakyat Malaysia.

Beliau turut  mengingatkan rakyat supaya tidak mudah dihasut mahupun panik jika kerajaan memperkenal pendekatan penyasaran subsidi kerana ia mungkin dijadikan isu besar oleh pembangkang.

Anwar juga menyeru supaya bidang kejuruteraan dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang dilihat mampu menarik pelabur asing serta membuka peluang pekerjaan dipertingkat.

“Kita dapati berdasarkan pelabur besar seperti Google dan (Kumpulan Zhejiang) Geely (Holding) mengatakan mereka senang dengan lulusan TVET serta jurutera kita tetapi mereka merasakan ada sedikit kekurangan di peringkat tertinggi dalam bidang IT dan kejuruteraan, maknanya program latihan kita mesti diubah suai,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan