AM

Pelajar Teruja Dapat Pakej Internet Rahmah Percuma Di Program Rakyat Madani

25/02/2024 02:52 PM

KUALA SELANGOR, 25 Feb (Bernama) -- Pelbagai tawaran menarik disediakan kepada remaja dan belia yang berusia 12 hingga 30 tahun pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor antaranya Pakej Internet Mudah Alih Rahmah secara percuma.

Seorang pelajar Mohd Asyraf Ramli, 20, berkata beliau mengambil kesempatan untuk mendapatkan pakej itu kerana gagal memperolehnya pada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Stadium Bukit Jalil tahun lepas.

“Pakej Internet Rahmah ini sangat memberi manfaat terutamanya kepada pelajar dan golongan B40 kerana pada masa kini kami amat memerlukan akses kepada Internet untuk mencari maklumat dan menyiapkan kerja kursus. 

“Selain itu juga, saya berharap kelajuan Internet di negara ini dapat ditingkatkan kerana kawasan pedalaman atau pinggir bandar kurang mendapat liputan Internet, macam saya tinggal di Rawang agar sukar memperolehi akses kepada Internet,” kata pelajar Sijil Tinggil Pelajaran Malaysia di sebuah sekolah dekat sini.

Inisiatif Kerajaan Perpaduan itu turut dinikmati Harith Fahmi Muhammad Suhaimi, 13, yang mendapat pakej berkenaan secara percuma di reruai Kementerian Komunikasi.

“Alhamdulillah hari ini saya datang dengan keluarga tak sangka berpeluang untuk dapat perkhidmatan pakej Internet Rahmah ini, prosesnya mudah sahaja iaitu hanya perlu mendaftar dan berikan kad pengenalan seterusnya sudah boleh dapatkan pakej tersebut.

“Harapan saya dengan adanya pakej yang diberikan kerajaan ini bolehlah saya menggunakannya untuk mencari maklumat dan mengakses Internet bagi memenuhi keperluan pembelajaran,” katanya.

Pakej Internet Mudah Alih Rahmah merupakan inisiatif kerajaan menawarkan prabayar khas untuk warganegara bagi menangani peningkatan kos sara hidup.

Inisiatif itu diberikan kepada lima kumpulan iaitu remaja dan belia berusia 12 hingga 30 tahun; warga emas; pesara polis, veteran tentera dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia; orang kurang upaya serta B40.

Sementara itu, di reruai Kementerian Komunikasi turut berlangsung aktiviti cabutan bertuah, kuiz, dan melukis potret secara digital.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Kementerian Komunikasi Ba’yah Bachok berkata pengunjung yang melawat reruai tersebut juga diberi pendedahan berhubung kementerian serta agensi yang terdapat di bawahnya.

“Selain itu, pengunjung juga boleh memperolehi potret Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara percuma...orang ramai hanya perlu mengimbas (kod) QR sahaja dan pihak kami akan menghantar bahan itu terus ke telefon bimbit mereka.

“Menarik lagi di reruai ini juga orang ramai sebenarnya boleh mendapatkan pelbagai info penting seperti perkhidmatan kurier…ramai yang tidak mengetahui sekiranya penghantaran barangan secara dalam talian lewat mereka boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.

Program tiga hari sejak Jumaat bermula 9 pagi hingga 10 malam itu memberikan tumpuan kepada aktiviti berkaitan pertanian dan keterjaminan makanan, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta kesejahteraan rakyat, selain pelbagai perkhidmatan disediakan agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor.

Majlis penutupan program akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini dan dijangka turut dihadiri kepimpinan tertinggi kerajaan Persekutuan dan negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan