AM

Sesb Laksana Projek Ipd Khas Setinggan Di Sabah

24/02/2024 07:43 PM

KOTA KINABALU, 24 Feb (Bernama) -- Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sedang meluaskan pelaksanaan projek Independent Power Distributor (IPD) dengan meter prabayar bagi mengatasi kegiatan penyambungan elektrik haram terutama di kawasan penempatan setinggan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar berkata terbaru projek IPD khas dengan meter prabayar untuk pembekalan elektrik bakal dilaksanakan di kawasan penempatan setinggan di daerah Tawau, lokasi kedua selepas Kampung Forest di Sandakan pada Oktober tahun lalu.

Katanya, pelaksanaan projek IPD di Kampung Forest, Sandakan berjaya  meminimakan kejadian gangguan bekalan elektrik, vandalisma dan kualiti voltan rendah di kawasan sekitarnya.

“Pelaksanaan projek IPD di Kampung Forest membuktikan bahawa projek ini adalah jalan penyelesaian bagi isu penyambungan haram yang amat merugikan SESB kerana tidak dapat mengutip hasil penggunaan elektrik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, baru-baru ini SESB telah memulakan proses awal tinjauan bagi mendapatkan maklumat dan skop untuk melaksanakan projek IPD di Tawau.

Mohd Yaakob berkata cadangan pelaksanaan projek IPD itu telah dikongsikan dengan Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui semasa lawatannya ke Kampung Hidayat, Tawau yang turut disertai Pengerusi SESB, Datuk Seri Madius Tangau pada Khamis lalu.

“Cadangan pelaksanaan projek ini kemudiannya akan diusulkan kepada pihak Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah (ECoS) bagi tujuan untuk mendapatkan lesen IPD dan kadar tarif jualan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata SESB  juga sedang bekerjasama dengan ECoS untuk memastikan bekalan elektrik dapat dibekalkan kepada pendududk di beberapa kampung di Kota Belud.

Katanya, kemudahan bekalan elektrik yang disalurkan ke 19 buah kampung berkenaan adalah di bawah projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KPLPBW).

Menurutnya, pihaknya menjangkakan kesemua kampung yang terlibat dengan projek itu akan mendapat bekalan elektrik pada bulan depan.

“SESB sedang bekerjasama sepenuhnya bersama ECoS untuk memantau kemajuan dan status projek berkenaan yang kini 95 peratus telah siap,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan