AM

FALSAFAH PENDIDIKAN DIPACU MATLAMAT SATU PENDEKATAN HASILKAN SISWAZAH PILIHAN

25/02/2024 09:50 AM

PUTRAJAYA, 24 Feb (Bernama) -- Falsafah pendidikan dipacu matlamat antara pendekatan terbaik untuk menghasilkan siswazah berkualiti yang dicari majikan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata dengan pendekatan falsafah ini yang diperkenalkan  Heriot-Watt University Malaysia pada 2017, staf dan pelajar universiti ini telah memulakan “journey of impact” mereka dengan  menemukan dan menyuarakan matlamat hidup mereka.

“Mereka juga menggunakan masa mereka untuk melaksanakan inisiatif bagi menggerakkan matlamat mereka kepada satu impak positif kepada dunia,” katanya dalam ucaptama pada Pelancaran Rasmi Kempen dan Forum Dipacu Matlamat (Driven by Purpose) di Heriot-Watt University Malaysia di sini hari ini.

Mustapha berkata beliau dimaklumkan dalam beberapa tahun lepas, menerusi inisiatif seperti projek pendanaan awam  “EmPOWER”  dan “Fit-For-Future”, universiti ini telah memainkan peranan penting dalam menyediakan siswazah dengan kemahiran penting seperti pemikiran kritis, set minda keusahawanan, kecerdasan emosi dan daya ketahanan.

Pendekatan inovatif Kempen Dipacu Matlamat menyasarkan untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran kalis masa depan dan hidup bermatlamat sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk ekonomi terangkum dan berkembang maju.

Kempen ini merupakan inisiatif perintis bagi menentukur semula pendidikan tinggi Malaysia dengan memupuk daya ketahanan dan melengkapkan pelajar dengan kemahiran penting untuk kejayaan masa depan.

Mengulas mengenai kempen ini, Mustapha berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (MOHE) amat yakin bahawa pendekatan pendidikan secara komprehensif dan holistik ini amat diperlukan dalam memupuk kumpulan bakat siswazah menjadi insan yang penting dan bernilai, melangkaui kecemerlangan akademik.    

Bagi sokongan lanjut inisiatif Pendidikan Dipacu Matlamat ini, beliau berkata MOHE komited untuk memainkan peranan penting dalam memupuk sebuah ekosistem yang kondusif kepada kemajuan holistik pelajar.

“Inisiatif ini bukan hanya melengkapkan siswazah dengan pengetahuan dan kemahiran diperlukan tetapi melatih mereka supaya dapat menyesuaikan diri dengan masa hadapan. Saya akan mengetengahkan perkara ini (insiatif Pendidikan Dipacu Matlamat) kepada kementerian, “ kata Mustapha.

Sementara itu pada sidang media, Mustapha berharap pihak Heriot-Watt University Malaysia akan berkongsi modul pelaksanaan inisiatif berkenaan dengan kementerian bagi membolehkan inisiatif itu diperkenalkan di institusi pengajian tinggi lain di negara ini.

“Saya dengar pembentangan mengenai inisiatif ini dan saya rasa ini boleh dilaksanakan di universiti lain. Ini boleh melatih mereka jadi insan yang baik.

Kita cuba ambil konsep yang dibuat Heriot-Watt University Malaysia. Kalau ada modul, kita boleh tawarkan kepada universiti lain,” katanya.

Sementara itu Provos dan Ketua Pegawai Eksekutif Heriot-Watt University Malaysia  Professor Mushtak Al-Atabi  menzahirkan minat mendalamnya untuk bekerjasama dengan MOHE bagi membantu Malaysia mencapai aspirasi pembangunannya.

“Kami gembira untuk bekerjasama dengan kementerian dan kami akan lihat bagaimana kita boleh bekerjasama. Kami amat gembira untuk berkongsi modul kami. 

Bersempena dengan Majlis pelancaran itu, Heriot-Watt University Malaysia juga menganjurkan perbincangan panel dan forum interaktif yang berteraskan Pendidikan Dipacu Matlamat.

Antara anggota panel pada perbincangan dan forum itu ialah Prinsipal dan Naib Canselor Heriot-Watt University Prof Richard A. Williams; Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia Prof Datuk Dr Andrew Mohanraj; 'Human Resources Director and Country Site Leader of Experian Malaysia' Chua Chai Ping; Pengetua Sekolah Antarabangsa The Alice Smith School Sian May dan Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank Datuk Dr Nora Abdul Manaf.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan