EKONOMI

Kwsp Promosi Literasi Kewangan Di Program Madani Rakyat

24/02/2024 05:11 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA SELANGOR, 24 Feb (Bernama) -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan terus memainkan peranan penting dalam mempromosikan literasi kewangan, keselamatan sosial serta menyokong pertumbuhan dan kestabilan ekonomi di Malaysia.

Sehubungan itu, KWSP mengambil peluang memperluas perkhidmatannya kepada masyarakat, terutamanya di Selangor menerusi penyertaan dalam Program MADANI Rakyat Zon Tengah yang diadakan di Kompleks Sukan Kuala Selangor, di sini. 

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha KWSP untuk mendekati rakyat secara bersemuka dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan secara fizikal dalam program ini.

“Pada program ini, orang ramai boleh datang ke reruai kami untuk menyemak penyata KWSP, mendaftar sebagai ahli baharu, mengemaskini maklumat ahli, mendaftar akaun-i, menyertai skim i-Lindung, mendaftar simpanan Shariah serta memudahkan penamaan waris dan lain-lain perkhidmatan,” menurut wakil KWSP kepada Bernama.

Beliau berkata keterlibatan KWSP dalam program ini tidak hanya bersifat pentadbiran bahkan ia melambangkan sokongan dan kerjasama dengan kerajaan dalam memastikan lebih ramai rakyat Malaysia memperoleh liputan keselamatan sosial yang mencukupi. 

“Selain itu, ia sejajar dengan matlamat memastikan simpanan mencukupi untuk persaraan. Langkah menyertai program sebegini menunjukkan komitmen KWSP dalam meningkatkan aksesibiliti dan memastikan perkhidmatannya sampai kepada segmen masyarakat yang lebih luas. 

“Dengan menyertai inisiatif seperti Program MADANI Rakyat Zon Tengah, KWSP ingin menggalakkan inklusiviti kewangan dan memberdayakan individu untuk memastikan masa depan kewangan mereka terjamin,” katanya.

Program MADANI Rakyat Zon Tengah selama tiga hari di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini merupakan anjuran Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri.

Majlis penutupan Program MADANI Rakyat Zon Tengah ini akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok dan dijangka turut dihadiri kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan