AM

Raja Muda Perlis Mahu Lebih Banyak Koperasi Bergerak Aktif

24/02/2024 02:43 PM

ARAU, 24 Feb (Bernama) -- Lebih banyak koperasi sektor pemborongan dan peruncitan di Perlis diharapkan dapat mengambil bahagian secara aktif bagi membantu kerajaan menangani masalah kos sara hidup rakyat khususnya dalam kalangan B40, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda juga bertitah agar penganjuran program seperti Karnival Usahawan dan Jualan Mega MADANI diperbanyakkan serta dipelbagaikan pada masa depan kerana ia memberi manfaat rakyat untuk memperoleh barangan pada harga berpatutan selain usahawan mampu menjana pendapatan.

"Program kolaborasi seumpama ini yang dianjurkan secara rentas kementerian dan agensi wajar disokong dan direalisasikan dengan lebih menyeluruh agar impak yang lebih signifikan dapat terhasil dengan peningkatan pendapatan serta pengembangan kapasiti usahawan, penjaja dan koperasi," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Karnival Usahawan dan Jualan Mega MADANI (KUJMM) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Pasar Tani Kekal Simpang Empat dekat sini hari ini.

Turut berangkat pada majlis perasmian itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Selain itu, Raja Muda Perlis bertitah baginda menaruh harapan tinggi supaya karnival dan jualan mega itu dapat menyuntik nilai tambah kepada usaha promosi menarik pengunjung ke Perlis melalui tawaran pelbagai produk usahawan dan koperasi termasuk barangan keperluan harian dan tawaran pakej pelancongan bersempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah penyertaan koperasi kariah masjid dalam sekor peruncitan barangan keperluan pengguna wajar disokong bertujuan meningkatkan ekonomi komuniti masyarakat Islam selain memenuhi tuntutan Fardu Kifayah.

"Penyertaan aktif koperasi kariah masjid dalam bidang keusahawanan secara langsung dapat menjana serta mengukuhkan penguasaan ekonomi dalam kalangan umat Islam," titah baginda.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan