EKONOMI

Tm Sasar Jadi Penjana Pendigitalan Menjelang 2030 — Ceo

23/02/2024 09:21 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Fokus Telekom Malaysia Bhd (TM) kini adalah untuk berkembang menjadi penjana pendigitalan menjelang 2030 sambil meletakkan Malaysia sebagai hab digital bagi rantau ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Amar Huzaimi Md Deris. 

Bagi mencapai aspirasi penjana digitalnya (PWR 2030), kumpulan itu memberi tumpuan kepada tiga tonggak strategik iaitu “Pioneer, Win and Revitalise”.

Melalui “Pioneer”, TM mahu menerajui pertumbuhan industri melalui pendigitalan serta kemampanan. “Win” pula akan membolehkan TM merancang untuk mengekalkan kepimpinan dan infrastrukturnya, menyampaikan ketersambungan yang tiada tandingan melalui inisiatif seperti 5G selain projek-projek kerajaan penting lain.

Sementara itu, “Revitalise” akan mendorong kumpulan itu dalam memupuk tenaga insani dan ekosistem inovasi, memastikan bakat sedia ada diperlengkapkan untuk menghadapi cabaran yang mendatang.

“Pada 2024, TM akan berusaha untuk melindungi kepimpinan kami dalam perniagaan teras termasuk meningkatkan perkhidmatan melangkaui ketersambungan untuk pertumbuhan dan kelekatan pelanggan.

“2024 juga akan menyaksikan kami memulakan ekosistem platform bagi membolehkan pelbagai penyelesaian dengan rakan kongsi kami, memanfaatkan Platform Awan TM yang akan dikuasakan oleh, antara lain, teknologi kecerdasan buatan,” katanya pada taklimat media di sini hari ini.

TM ketika mengulas mengenai hala tuju pasarannya pada 2024, mengunjurkan pertumbuhan pendapatan satu digit yang rendah tahun ini berbanding pertumbuhan 1.1 peratus pada 2023.

Pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) dijangka mencecah RM2.1 bilion-RM2.2 bilion pada 2024 berbanding RM2.1 bilion yang disaksikan semasa tahun lepas; manakala, perbelanjaan modal (capex) diramalkan antara 14 dan 18 peratus daripada jumlah hasil berbanding 15.9 peratus sebelumnya.

“Berdasarkan panduan pasaran kami, kami optimis bahawa TM bersedia untuk mencapai prestasi positif pada 2024, didorong inisiatif strategik yang diperkukuhkan oleh rangkaian serta pemodenan teknologi maklumat yang berterusan, bersama-sama dengan usaha pemulihan tenaga kerja di seluruh organisasi,” kata Amar Huzaimi. 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, TM mendedahkan bahawa keuntungan bersihnya melonjak 63.6 peratus kepada RM1.87 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 (TK2023) berbanding RM1.14 bilion pada TK2022 berikutan kos kewangan bersih yang lebih rendah termasuk kesan cukai.

Pendapatan meningkat kepada RM12.26 bilion pada TK2023 daripada RM12.12 bilion sebelumnya, didorong oleh prestasi kukuh Unifi dan TM Global.

Kumpulan itu berkata langganan jalur lebar tetap Unifi mengalami pertumbuhan 3.1 peratus, mencecah 3.13 juta, manakala pendapatan TM Global berkembang disebabkan permintaan yang tinggi untuk perkhidmatan data domestik dan antarabangsa.

Perbelanjaan modal kumpulan itu pada TK2023 berjumlah RM1.9 bilion atau 15.9 peratus daripada hasil, yang bertujuan bagi mengembangkan infrastruktur rangkaian TM ke seluruh negara dan sistem kabel dasar laut serantau.

EBIT kumpulan kekal tidak berubah pada RM2.09 bilion semasa TK2023 disebabkan kos operasi yang lebih tinggi.

TM juga mengisytiharkan dividen interim kedua dan dividen akhir berjumlah 15.5 sen sesaham, membabitkan pembayaran RM594.9 juta.

Pada suku keempat TK2023, keuntungan bersih TM menokok 170.6 peratus kepada RM433.53 juta daripada RM160.18 juta setahun sebelumnya, manakala hasil meningkat 5.1 peratus kepada RM3.13 bilion berbanding RM2.98 bilion sebelumnya. 

Prestasi yang lebih baik itu disebabkan oleh peningkatan dalam perkhidmatan data, Internet dan multimedia, serta perkhidmatan telekomunikasi lain, katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan