AM

PROGRAM MADANI RAKYAT: KLINIK SYIFA’ GIAT TURUN PADANG PROMOSI PEKA B40

23/02/2024 05:56 PM

KUALA SELANGOR, 23 Feb (Bernama) – Klinik Syifa’ 24 Jam giat turun padang dalam usaha mempromosikan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) di sini.

Usaha ini merupakan salah satu aktiviti bersempena Program MADANI Rakyat Zon Tengah yang bermula hari ini sehingga 25 Feb di sini, dengan kerjasama ProtectHealth, Pejabat Parlimen Kuala Selangor dan SRA Ambulance Services.

Pemilik Bersama Klinik Syifa’ 24 Jam Cawangan Kuala Selangor, Dr Muhd Nur Azri bin Mohd Hisam berkata program turun padang ini sangat berbeza kerana pihaknya dapat melakukan saringan kesihatan dengan lebih terperinci kepada pesakit terlantar yang tidak mampu membuat saringan secara terus di klinik kesihatan berdekatan.

Beliau berkata kira-kira 85 rumah yang dapat dijejaki sepanjang program turun padang itu, disamping membantu lebih ramai pesakit terlantar yang memerlukan saringan secara berkala untuk mengetahui status terkini kesihatan masing-masing.

“Apabila seseorang sudah melebihi sesuatu umur iaitu 40 tahun dan ke atas, kebiasaannya akan terdedah dengan risiko untuk penyakit tidak berjangkit (Noncommunicable diseases, NCDs), seperti kencing manis, darah tinggi dan kolestrol serta komplikasi daripada penyakit tiga serangkai ini.

“Secara ringkasnya, saringan ini memberikan kita kesedaran bagaimana kita perlu berjaga-jaga apabila sudah melepasi 40 tahun supaya melakukan saringan kesihatan secara berkala… Saringan percuma ini juga membolehkan kita mengelakkan perkara-perkara seperti komplikasi kesihatan daripada penyakit tidak berjangkit ini, seperti serangan jantung, kegagalan buah pinggang dan lain-lain,” katanya selepas melakukan saringan kesihatan PeKa B40, di sini, hari ini.

Menurut laman web protecthealth, Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 atau PeKa B40 adalah inisiatif Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertujuan untuk untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah dengan memberi tumpuan kepada penyakit tidak berjangkit (NCD).

PeKa B40 ditawarkan secara percuma kepada warganegara Malaysia dalam kumpulan B40.

Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pasangan mereka yang berumur 40 tahun ke atas secara automatik layak menerima PeKa B40. Tiada pendaftaran khas diperlukan untuk menyertai PeKa B40.

Dalam pada itu, Dr Muhd Azri menyeru semua klinik swasta untuk terus mempergiatkan promosi saringan PeKa b40 bagi membantu rakyat Malaysia untuk sentiasa mengetahui status kesihatan mereka terkini.

Beliau juga mengajak orang ramai untuk memeriahkan reruai Protecthealth di Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kuala Selangor bagi mengetahui lebih lanjut berkaitan skim PeKa B40.

Turut diadakan di reruai itu perkhidmatan saringan kesihatan percuma PeKa B40, khidmat nasihat dan promosi kesihatan serta taklimat peka dan cakna kesihatan anda.

Majlis penutup Program MADANI Rakyat Zon Tengah itu akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Feb, yang akan turut dihadiri kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Program MADANI Rakyat merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember tahun lepas.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan