KUALA SELANGOR, 23 Feb (Bernama) -- Buat julung kalinya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menawarkan ujian psikologi kepada pengunjung Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor, yang berlangsung tiga hari bermula hari ini.
JPA dalam kenyataan memaklumkan sebanyak tiga jenis sesi khidmat kaunseling dan konsultasi disediakan kepada pengunjung yang ingin menyertai ujian itu di reruai JPA, iaitu e-Kaunseling Perkhidmatan Awam (EKPA), Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Penjawat Awam (MyPsyD) dan terapi Biofeedback.
“e-Kaunseling Perkhidmatan Awam (EKPA) menawarkan perkhidmatan kaunseling dan psikoterapi melalui aplikasi e-KPA di portal JPA. Antara masalah yang dibincangkan semasa sesi kaunseling itu meliputi prestasi dan kerjaya, kesihatan, keluarga, kerohanian, kewangan, sikap, ketagihan, serta psikososial.
“Sistem MyPsyD pula adalah proses saringan bagi mengetahui tahap kesihatan psikologi penjawat awam untuk mewujudkan panduan intervensi bersasar dan komprehensif mengikut keperluan,” katanya.
Selain itu, terapi Biofeedback membantu mengawal fungsi badan, sekali gus membantu menguruskan keadaan seperti sakit kronik, kebimbangan serta penurunan kawalan (incontinence) yang merupakan pendekatan perubatan alternatif yang mengajar untuk mengubah cara badan berfungsi sekali gus meningkatkan kesihatan fizikal dan mental.
Sepanjang program itu, JPA juga menyediakan khidmat nasihat mengenai dasar Skim Pencen yang sedang berkuat kuasa, urusan prapersaraan dan persaraan kepada penjawat awam serta pesara kerajaan di reruai JPA.
Menurut jabatan itu antara perkhidmatan disediakan termasuk kemudahan semakan penyata pembayaran pencen bulanan, promosi penggunaan aplikasi MyPesara dan cetakan baharu kad pesara.
“Pengunjung khususnya pelajar dan ibu bapa juga boleh mendapatkan khidmat nasihat berkaitan kemudahan bayaran balik pinjaman dan ganti rugi, lapor diri tamat pengajian, penangguhan balik, kontrak berkhidmat dan promosi bagi program penajaan Latihan Sebelum Perkhidmatan dan Latihan Dalam Perkhidmatan JPA,” katanya.
Program MADANI Rakyat Zon Tengah yang bermula 9 pagi hingga 10 malam itu menawarkan pelbagai acara menarik kepada pengunjung.
Penganjuran program itu merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang menjadi wadah masyarakat mendapatkan maklumat tentang 163 perkhidmatan kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi berkaitan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial