SUKAN

SHAH FIRDAUS, IZZAH IZZATI LAYAK SEPARUH AKHIR ACARA PECUT ACC DI INDIA

22/02/2024 08:56 PM

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Dua pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mara ke separuh akhir acara pecut lelaki dan wanita, pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India. 

Muhammad Shah Firdaus yang juga pemenang pingat perak acara keirin lelaki di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Kaherah, Mesir pada Mac tahun lepas mudah menewaskan pelumba China Liu Kuan, dalam dua perlumbaan suku akhir hari ini, menurut laman sesawang https://atresults2.wixsite.com/attiming/acct2024

Nasib berbeza menimpa adiknya, Muhammad Ridwan Sahrom apabila dikalahkan Li Zhiwei 0-2 dalam satu lagi perlumbaan. 

Sementara itu, Nurul Izzah Izzati juga berada dalam keadaan terbaiknya apabila menewaskan Ratu Afifah Nur Indah dari Indonesia 2-0, pada perlumbaan suku akhir hari ini manakala Nurul Aliana Syafika Azizan pula disingkirkan Tong Mengqi dari China, 0-2.

Muhammad Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati masing-masing akan bertemu Zhiwei dan Mengqi pada perhitungan separuh akhir, esok.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan