EKONOMI

Malaysia Catat Jumlah Pelaburan Diluluskan Tertinggi Sebanyak Rm329.5 Bilion Pada 2023 - PM Anwar

23/02/2024 11:20 PM

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM329.5 bilion pada 2023 meningkat 23.0 peratus daripada 2022, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata daripada jumlah tersebut, pelaburan asing merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus.

“Prestasi cemerlang ini disokong oleh peningkatan sebanyak 35.1 peratus dalam pelaburan domestik dan sebanyak 15.3 peratus dalam pelaburan asing,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata perkara itu dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bil. 2/2024 yang diadakan hari ini.

Perdana Menteri berkata landskap pelaburan negara yang memperlihatkan prestasi amat memberangsangkan ini juga mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi sepanjang lebih setahun pentadbiran Kerajaan MADANI.

“Secara tidak langsung, ini merupakan petanda bahawa dasar mesra pelaburan dan mesra perniagaan yang dilaksanakan menerusi pendekatan seluruh kerajaan telah mula membuahkan hasil dalam meningkatkan keyakinan pelabur,” kata beliau.

Jumlah pelaburan yang diluluskan tersebut melibatkan 5,101 projek dan berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat dan negara.

Sektor perkhidmatan merekodkan pelaburan tertinggi menyumbang lebih daripada separuh (51.1 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu RM168.4 bilion, diikuti sektor perkilangan sebanyak RM152.0 bilion (46.1 peratus) dan sektor utama sebanyak RM9.1 bilion (2.8 peratus).

Sementara itu Anwar berkata mesyuarat tersebut juga membincangkan mengenai hala tuju pelaburan digital negara, selaras dengan perkembangan sektor ekonomi digital yang semakin pesat dan merupakan antara sektor ekonomi yang penting dalam memperkukuh agenda pelaburan.

Ekonomi digital yang menyumbang sebanyak 23.2 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada 2021, diunjur meningkat kepada 25.5 peratus menjelang 2025.

Bagi tempoh 2021- September 2023, sebanyak 396 projek berkaitan digital telah diluluskan dengan nilai pelaburan sebanyak RM128.9 bilion merangkumi projek diluluskan melalui Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan.

Pelaburan dalam projek digital ini dijangka mewujudkan 36,553 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Anwar berkata, antara pelaburan digital yang diluluskan adalah dalam sektor pusat data, pengkomputeran awan, pengehosan data, analisis data besar dan kecerdasan buatan (AI).

Menurut beliau, kehadiran syarikat digital terkemuka dunia dan peneraju pasaran global di Malaysia juga memberi isyarat penting bahawa negara mempunyai tarikan dan ekosistem pelaburan yang kondusif untuk pelaburan digital.

Justeru, kata beliau, kerajaan perlu memudahcara sebaik mungkin pelaburan digital berpotensi tanpa sebarang kompromi terhadap aspek berkaitan keselamatan data dan kedaulatan negara. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan