EKONOMI

Bank Muamalat, Pos Malaysia Sasar 30,000 Pemegang Kad Kredit Visa Jenama Bersama

21/02/2024 09:41 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Pos Malaysia Bhd menyasarkan untuk mencapai 30,000 pendaftaran di seluruh negara untuk kad kredit jenama bersama mereka yang baharu dilancarkan, Visa Infinite-i dan Visa Platinum-i menjelang akhir tahun ini.

Kad kredit jenama bersama itu menawarkan faedah seperti rebat tunai, diskaun untuk produk dan perkhidmatan Pos Malaysia terpilih serta pelan pembayaran ansuran dengan kadar keuntungan sifar peratus.

Ketua Pegawai Operasi Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden berkata kad kredit berkenaan adalah bagi memenuhi keperluan individu terutamanya pelanggan yang kerap berurus niaga di lebih 700 pejabat pos dan cawangan Pos Laju di seluruh negara.

“Dengan memanfaatkan potensi pertumbuhan asas pelanggan Pos Malaysia yang kini merangkumi lebih 350,000 urus niaga kad kredit di terminalnya setiap tahun, kami menyasarkan lebih 30,000 pendaftaran kad baharu di seluruh negara menjelang akhir tahun ini, ” katanya pada majlis pelancaran kad itu di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif strategik itu meletakkan Kad Kredit-i berjenama bersama Visa sebagai pilihan pilihan untuk pelanggan, seiring dengan dengan strategi Bank Muamalat, “Go-to-Market” dalam segmen pengguna.

Ia bertujuan bukan sahaja untuk meningkatkan hasil dan mempercepatkan pertumbuhan perniagaan dalam perbankan Islam tetapi juga berusaha untuk menjadikan perbankan Islam sebagai alat kewangan untuk semua rakyat Malaysia, mencerminkan komitmen bank untuk menyediakan landskap kewangan "Kehidupan yang Lebih Baik, Bersama", katanya.

"Ini termasuk memenuhi keperluan individu yang mencari penyelesaian kewangan patuh shariah di samping memperluaskan manfaat Kad Kredit-i jenama bersama kepada pelanggan," katanya.

Selain itu, pemegang kad boleh menikmati pulangan tunai lapan peratus untuk semua urus niaga di terminal kaunter Pos Malaysia, dihadkan pada RM100 sebulan.

Visa Infinite-i dan Visa Platinum-i juga menawarkan pulangan tunai satu peratus tanpa had untuk perbelanjaan luar negara; pelan pembayaran ansuran kadar keuntungan sifar peratus dan akses percuma ke Plaza Premium Lounge untuk pemegang kad Infinite.

Pelanggan juga boleh menikmati pelan pemindahan baki sifar peratus untuk tempoh enam bulan dan perlindungan takaful kemalangan perjalanan percuma serta perlindungan takaful percuma untuk baki tertunggak.

Zury Rahimee berkata kerjasama itu merupakan peristiwa penting bagi industri perbankan Islam kerana Bank Muamalat telah menjadi bank pertama yang bekerjasama dengan penyedia logistik di Malaysia, menyelaraskan dengan prinsip shariah dan mentakrifkan semula penyelesaian kad kredit.

Beliau berkata harapan bahawa pakatan strategik antara Bank Muamalat dan Pos Malaysia itu dapat memanfaatkan cadangan nilai kedua-dua syarikat dan meningkatkan pengalaman pelanggan mereka secara keseluruhan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata melalui kerjasama ini, syarikat itu menyasarkan untuk menyediakan penyelesaian pembayaran yang serba boleh untuk pelanggannya.

Beliau berkata kad itu boleh digunakan di kedai serbaneka Pos Shop dan memberi keselesaan dan pengalaman pelanggan di sembilan lokasi ketika ini.

“Perkongsian ini adalahh peluang hebat untuk mengukuhkan portfolio perkhidmatan kami, memberi perkhidmatan dan keselesaan kepada pelanggan kami dan memanfaatkan rangkaian Pos Malaysia yang luas di 3,800 titik peruncitan dan rangkaian penghantaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan