DUNIA

Malaysia Kecewa Unsc Gagal Laksana Gencatan Senjata Serta-merta Di Gaza

21/02/2024 09:08 PM

PUTRAJAYA, 21 Feb (Bernama) -- Malaysia meluahkan kekesalan atas kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menangani situasi genting yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza.

Menurut kenyataan Kementerian Luar pada Rabu, resolusi yang diusulkan Algeria itu gagal menerusi penggunaan kuasa veto sekali gus melumpuhkan lagi usaha masyarakat antarabangsa menangani malapetaka kemanusiaan di Palestin.

Mengambil kira keadaan di Gaza yang semakin meruncing terutamanya serangan besar-besaran oleh Israel di Rafah, jalan penyelesaian yang berkesan untuk menangani krisis itu ialah untuk Majlis Keselamatan PBB melaksanakan gencatan kemanusiaan dengan serta merta.

“Satu-satunya jalan penyelesaian terbaik terhadap konflik ini ialah dengan melaksanakan Penyelesaian Dua Negara berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

“Malaysia mengulangi gesaannya supaya negara Palestin diiktiraf sebagai anggota penuh PBB,” menurut kenyataan itu.

Amerika Syarikat pada Selasa sekali lagi memveto draf resolusi UNSC mengenai perang Israel-Palestin yang menghalang permintaan untuk gencatan senjata kemanusiaan segera.

Seramai 13 anggota majlis mengundi menyokong darf resolusi yang diusulkan Algeria manakala Britain berkecuali.

AS buat kali ketiga menggunakan kuasa vetonya terhadap draf resolusi berkaitan Gaza sejak permulaan konflik pada 7 Okt lalu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan