AM

LEBIH 10,000 TERIMA BEG MAKANAN YAYASAN PETRONAS

22/02/2024 11:44 AM

IPOH, 21 Feb (Bernama) -- Lebih 10,000 individu dari golongan kurang berkemampuan di seluruh negara menerima sumbangan beg barangan makanan menerusi Program Memacu Kehidupan oleh Yayasan Petronas. 

Pengurus Kanan Pejabat Petronas Tengah dan Utara Perhubungan Strategik dan Komunikasi Kumpulan, Zulkifli Othman berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan secara berperingkat itu adalah bagi memastikan golongan sasaran dari pelbagai kaum dapat menyambut musim perayaan masing-masing dengan gembira dan harmoni.

"Program ini telah bermula sejak 2018 lagi, cuma kita hanya menjenamakan semula nama program tersebut.

"Kita mengutamakan penerima yang menyambut perayaan seperti Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas serta pelbagai perayaan yang disambut di Sabah dan Sarawak," katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan barangan makanan kepada lima penerima dari kaum Cina di sekitar kawasan Bercham di sini pada Program Memacu Kehidupan Tahun Baharu Cina 2024 Bagi Negeri Perak, yang turut disertai Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP) Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib.

Beliau berkata penerima merupakan golongan kurang berkemampuan serta menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mereka menerima sumbangan berupa barangan makanan seperti beras, minyak masak, tepung, produk makanan dalam tin serta makanan tradisional semasa musim perayaan berjumlah lebih RM200, katanya.

Menurut Zulkifli pada tahun ini, seramai 2,100 penerima merupakan kaum Cina dan daripada jumlah itu, sebanyak 200 penerima dari negeri Perak.

Sementara itu, seorang penerima Mak Tsui Kam, 56, dari Taman Pakatan berkata beliau berasa terharu dengan kunjungan kakitangan Yayasan Petronas ke rumahnya bagi menyampaikan sumbangan berkenaan. 

"Saya hanya tinggal bersama suami. Sebelum ini suami saya menjual aiskrim tetapi terpaksa berhenti kerana mengalami strok," katanya yang kehilangan kaki kanan akibat kencing manis. 

Seorang lagi penerima, Lay Fong Lian, 78, turut melahirkan rasa gembira semasa menerima sumbangan tersebut.

"Saya ucap banyak-banyak terima kasih kepada Yayasan Petronas, boleh saya gunakan barangan makanan yang ada ini untuk keperluan harian," katanya yang tinggal bersama anak lelakinya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan