AM

Taib Mahmud Disegani Atas Perkhidmatan Terbaik Sepanjang Galas Amanah

21/02/2024 05:42 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud disifatkan sebagai seorang tokoh yang disegani kerana telah memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang menggalas amanah melaksanakan tugas.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi hantaran di Facebook berkata pemergian Abdul Taib yang turut dikenali sebagai Bapa Pemodenan Sarawak itu merupakan satu kehilangan buat negeri tersebut dan juga negara.

“… terlalu banyak jasa dan bakti Allahyarham kepada Bumi Kenyalang. Seorang yang disegani atas perkhidmatan terbaik Allahyarham sepanjang diberikan amanah. Takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham,” katanya.

Pada masa sama, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata jasa, sumbangan dan usaha yang banyak disumbangkan oleh Abdul Taib menjadikan beliau seorang tokoh politik hebat dan pemimpin yang dihormati sepanjang menjadi Ketua Menteri Sarawak ke-4 dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-7.

“Berita pemergian Allahyarham merupakan suatu kehilangan besar buat negara, khususnya bagi rakyat Negeri Sarawak. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah," katanya.

Selain itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata banyak jasa Allahyarham Abdul Taib yang telah dicurahkan dalam pembangunan dan pemodenan Sarawak sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada 1981.

Turut menzahirkan ucapan takziah adalah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang masing-masing mendoakan agar roh Allahyarham Abdul Taib dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pula mendoakan agar seluruh keluarga Allahyarham Abdul Taib diberikan kekuatan dalam berdukacita atas kehilangan Abdul Taib.

Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi hari ini dan pengurusan jenazah Allahyarham dilakukan di Masjid Negara sebelum dibawa pulang ke Kuching untuk dikebumikan.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Abdul Taib.

Aminuddin berkata semoga roh Allahyarham diampuni dosanya, serta diletakkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh, Insya-Allah. 

"Ya Allah, muliakanlah beliau, lapangkanlah perkuburannya, jadikan syurga sebagai ganti tempat tinggalnya, dan berikanlah kesabaran kepada ahli keluarganya," katanya menerusi Facebook.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan