AM

Taib Mahmud Abadikan Kehidupan Untuk Perkhidmatan Awam - Menteri Sarawak

21/02/2024 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud seorang pemimpin yang telah mengabadikan kehidupannya untuk perkhidmatan awam.

Abdul Karim, yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, berkata Abdul Taib telah mendedikasikan kehidupannya bukan hanya untuk Sarawak tetapi juga untuk negara sebelum beliau memegang jawatan sebagai ketua menteri lagi.

“Pada hari Malaysia ditubuhkan pada 1963, Abdul Taib merupakan menteri negeri, iaitu paling muda di Sarawak. Ketika beliau berkhidmat sebagai menteri negeri, beliau telah dibawa ke Persekutuan untuk menjadi menteri. Beliau berkhidmat di empat atau lima kementerian sebelum kembali ke Sarawak pada 1981.

“Selepas 33 tahun sebagai Ketua Menteri, beliau dilantik pula sebagai Yang Dipertua Negeri hingga akhir Januari lepas. Jadi, dari usia muda hingga menjadi Yang Dipertua Negeri dan hingga meninggal dunia hari ini, beliau telah mengabadikan kehidupannya untuk perkhidmatan awam,” katanya dalam temu bual yang disiarkan dalam rancangan ‘The Brief’ di Bernama TV hari ini.

Pada masa sama, Abdul Karim berkata segala yang dimiliki Sarawak pada hari ini seperti kestabilan politik, keharmonian kaum dan toleransi antara satu sama lain semuanya dipimpin oleh Abdul Taib, justeru pemergian Allahyarham dirasai oleh semua terutama rakyat Sarawak. 

Abdul Taib, 87, meninggal dunia di Hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi tadi dan pengurusan jenazahnya dilakukan di Masjid Negara sebelum diterbangkan pulang ke Kuching, Sarawak untuk pengebumian.

Sementara itu, bekas Ketua Perkhidmatan Inggeris RTM Kuching Anthony Raman Nair pada program yang sama, menyifatkan Abdul Taib sebagai pemimpin Sarawak yang berwawasan yang mencetuskan banyak perkara besar di negeri ini terutama dalam aspek pembangunan, pendidikan selain tenaga boleh diperbaharui.

“Ketika Abdul Taib menjadi Ketua Menteri Sarawak, beliau melakukan banyak perkara untuk negeri ini seperti membangunkan pelabuhan, pendidikan untuk generasi muda dan melalui beliau juga kini kita mempunyai universiti awam.

“Kota Samarahan kini dikenali sebagai hab pendidikan dengan kehadiran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Selain itu, semasa zaman beliau juga Bintulu dibangunkan, terdapat LNG ( gas asli cecair) di situ dan beliau telah membangunkan kawasan tersebut,” katanya.

Dilahirkan pada 21 Mei 1936, Abdul Taib menerajui Sarawak sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun. Beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak, menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, pada 1 Mac 2014.

Selepas hampir 10 tahun memegang jawatan itu, Allahyarham digantikan oleh Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri pada 29 Jan lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan