DUNIA

Rakyat Malaysia Disaran Patuhi Undang-undang Jalan Raya - Polis Betong

21/02/2024 01:37 PM

Oleh Tuwaedaniya Meringing

BETONG (Thailand), 21 Feb (Bernama) -- Rakyat Malaysia khususnya mereka yang memandu ke Thailand disaran mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya di negara itu.

Ketua Polis Daerah Betong Kol. Pol. Jirawat Dooding menyarankan pemandu kenderaan persendirian dan bas pelancong warga asing agar meletakkan kenderaan di parkir yang disediakan bagi mengelakkan  kesesakan dan menyusahkan pengguna jalan raya lain.

Selain itu, pemilik kenderaan perlu memastikan mereka memiliki dokumen kenderaan yang sah.

“Semua pemandu harus menghormati dan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya bagi mengelak dikenakan denda atau hukuman penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan seorang rakyat Malaysia yang merupakan pemandu bas pelancong ditahan polis baru-baru ini kerana melanggar undang-undang jalan raya.

Lelaki berusia 46 tahun itu tidak meletakkan kenderaan di parkir yang disediakan dan cuba melarikan diri ketika polis membuat pemeriksaan lanjut. 

“Siasatan lanjut mendapati lelaki itu menggunakan kenderaan yang berdaftar di Malaysia dan memasuki Thailand tanpa dokumen yang sah,” katanya.

Pada 13 Februari lepas, lelaki itu telah dihadapkan ke mahkamah.

Mahkamah Betong membenarkan lelaki itu diikat jamin 50,000 baht dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tidak boleh meninggalkan Thailand selama tiga bulan dan diwajibkan memakai gelang kaki Sistem Penentududukan Global (GPS).

Selain itu, dia perlu melapor diri di balai polis Betong setiap bulan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan