AM

Jenazah Abdul Taib Mahmud Selesai Disolatkan Di Masjid Negara

21/02/2024 11:38 AM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Jenazah bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud selesai disolatkan di Masjid Negara pada 10.24 pagi.

Solat jenazah yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni itu, disertai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain serta kira-kira 100 hadirin terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat handai. 

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Dewan Syarahan Utama Masjid Negara untuk ahli keluarga dan rakan-rakan memberi penghormatan terakhir sebelum dibawa pulang ke Sarawak.

 Terdahulu, van membawa jenazah Allahyarham tiba di Masjid Negara untuk dimandikan pada pukul 9.11 pagi, selepas selesai urusan di hospital swasta, sebelum dijangka dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, di Subang untuk diterbangkan ke Kuching, Sarawak pada 1 tengah hari.

Jenazah Allahyarham turut diiringi isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib dan anak Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib.

Abdul Taib, 87, meninggal dunia pada 4.40 pagi tadi selepas menerima rawatan selama kira-kira seminggu di hospital berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan