AM

Konsert Trio Terhebat Indonesia Temui Peminat Mei Depan

21/02/2024 11:55 AM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Diuji dengan penyakit kanser otot dan kulit sejak tiga tahun lepas, tidak menghalang bekas vokalis kumpulan popular Indonesia Samsons, Bambang Reguna atau lebih dikenali Bams untuk menjayakan impiannya  beraksi di pentas Malaysia.

Impian yang sudah lama tertanam sejak memilih bergerak solo 12 tahun lalu, bakal menjadi kenyataan apabila terlibat dalam konsert  Trio Terhebat Vol.1 bersama rakannya dalam industri muzik iaitu Marcell Siahaan dan bekas vokalis kumpulan terkenal Dewa 17, Once Mekel.

Baginya, peluang mengadakan persembahan di pentas negara ini merupakan satu momen sangat berharga kerana dapat mendendangkan peminat dengan lagu yang pernah menjadi hits suatu ketika dahulu iaitu Naluri Lelaki, Kenangan Terindah, Akhir Rasa Ini dan Kisah Tak Sempurna.

“Kanser itu masih ada cuma tidak menjejaskan kerjaya seni kerana ia tersebar hanya tiga peratus sahaja. Kesihatan pun sudah optimum, cuma makanan masih jaga kerana kanser menyerang saya kerana terlalu bekerja keras," katanya pada sidang media Trio Terhebat Vol.1 di sini hari ini.

Walaupun sudah tidak lagi mendapatkan rawatan namun dia masih perlu banyak berehat bagi memastikan kanser tersebut  pulih sepenuhnya.

Bams yang kini berusia 41 tahun turut berkongsi khabar bahawa beliau akan menghasilkan album solo kedua khusus untuk peminatnya di Indonesia dan Malaysia pada tahun hadapan.

“Saya makin rancak ingin hasilkan karya seni cumanya tahun ini negara saya (Indonesia) ada pilihan raya, jadi saya fikir kurang bijak untuk melakukan apa-apa dari segi hiburan kerana seluruh negara fokus kepada politik,” katanya.

Mengulas tentang konsert itu, Bams berkata dia berjanji untuk memberikan persembahan terbaik meskipun harus berkongsi pentas dengan Once yang dikatakan mempunyai suara lebih tinggi daripada beliau.

“Saya tidak perlu pandai dalam semua perkara kerana setiap artis mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri,” katanya.

Sementara itu, Marcell Siahaan, 47, yang bakal membuat persembahan di konsert yang bakal menggabungkan tiga pria tampan dari negara jiran itu berkata beliau tidak meletakkan sebarang sasaran umur untuknya berhenti dari dunia nyanyian.

“Buat saya, menyanyi itu tidak ada noktahnya. Ia berbeda, jika saya jadi ahli politik rasmi. Tetapi saya menyanyi, jadi hingga hayat dikandung badan begitulah saya pergi,” katanya.

Mengenai konsert Trio Terhebat Vol.1 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre pada 4 Mei depan, penonton akan disajikan dengan 30 lagu termasuk lagu popular Marcell antaranya Semusim, Firasat, Takkan Terganti, Mendendam, Peri Cintaku dan Jangan Pernah Berubah.

Once Mekel pula akan menuangkan emosi melalui lagu-lagu seperti Dealova, Hilang Naluri, Kucinta Kau Apa Adanya dan Ditentukan Untuk Bersama sementara Bams akan melagukan kembali Naluri Lelaki, Kenangan Terindah, Akhir Rasa Ini dan Kisah Tak Sempurna.

Terdapat enam pilihan tiket, Hanya Memuji (RM268), Semusim (RM308), Hilang Naluri (RM358), Akhir Rasa Ini (RM458), Dealova (RM558) dan Kenangan Terindah (RM1,388).

Tiket boleh dibeli dengan melayari www.ticket2u.com, dan pemegang kad kredit Maybank akan diberi diskaun sebanyak 12 peratus manakala, pemegang kad debit Maybank pula menerima potongan harga 10 peratus.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan