AM

Jualan Agro Madani, Petting Zoo Sempena Program Madani Rakyat Zon Tengah

20/02/2024 11:34 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Pelbagai aktiviti menarik termasuk Jualan Agro MADANI dan khidmat nasihat geran pertanian menanti orang ramai yang hadir pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah bermula 23 hingga 25 Feb di Kompleks Sukan Kuala Selangor. 

Kementerian Pertanian dan Keterjaminanan Makanan (KPKM) dalam  hantaran di Facebook hari ini, memaklumkan pihaknya juga akan mengadakan beberapa pameran sempena program itu antaranya, paddy tech, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pertanian, AgroVet, AgroTech dan Akuakultur.

Dalam hantaran sama, KPKM turut memaklumkan pihaknya akan mengadakan Petting Zoo khusus untuk peminat kucing selain pameran Lembu Sado untuk tatapan orang awam pada program berkenaan.

Sekretariat Program MADANI Rakyat dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan program akan bermula 9 pagi hingga 10 malam itu memberi tumpuan kepada aktiviti yang berkaitan dengan pertanian dan keterjaminan makanan, TVET serta kesejahteraan rakyat, selain pelbagai perkhidmatan disediakan agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor khususnya.

Program anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), KPKM dan kerajaan Selangor itu merangkumi Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Program MADANI Rakyat merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan