EKONOMI

Ceo Proton Beri Bayangan Bakal Lancar Model Baharu Nev

20/02/2024 10:06 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Pengeluar kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) hari ini memberi bayangan mengenai pelancaran beberapa model baharu kenderaan tenaga baharu (NEV) tidak lama lagi.

Ketika berkongsi perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Dr Li Chunrong berkata usaha berkenaan akan dibuat secara berperingkat.

“Selepas model pertama, mungkin dalam enam atau laman bulan kemudian akan menyaksikan pelancaran model seterusnya (termasuk model bukan NEV),” katanya.

Li berkata demikian ketika membuat pembentangan bertajuk ‘Strategi Perancangan Masa Depan Produk’ Proton di majlis makan malam sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang turut dihadiri oleh pelbagai wakil media di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata Proton juga merancang untuk meningkatkan lagi portfolio rangkaian kuasanya menerusi pelancaran enjin generasi baharu yang menawarkan kelebihan daya saing di pasaran.

“Proton juga berhasrat menduduki tempat pertama bagi aspek perkhidmatan pasca jualan,” katanya.

Pada 2023, Proton berjaya mencapai pertumbuhan jualan untuk tahun kelima berturut-turut dengan mencatat jualan (domestik dan eksport) sebanyak 154,611 unit -- prestasi paling kukuh sejak 2012.

Angka itu memaparkan peningkatan 9.3 peratus daripada 141,432 unit yang dijual pada 2022.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan