EKONOMI

Kpj Healthcare Sasar Keluar Dari Pasaran Australia Dalam Tempoh Dua Tahun

20/02/2024 06:45 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- KPJ Healthcare Bhd menyasarkan untuk keluar dari pasaran penjagaan kesihatan Australia dalam tempoh dua tahun, kata Presiden dan Pengarah Urusannya Chin Keat Chyuan.

Syarikat itu pada masa ini mengendalikan perniagaan desa persaraan dalam pasaran itu selepas menjual operasi penjagaan warga emasnya pada Disember 2023.

"Kami belum menemui pembeli lagi. Mudah-mudahan, dalam tempoh 12 hingga 24 bulan, sebaik sahaja kami mempunyai pembeli, kami akan menamatkan perniagaan di Australia," katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan kewangan suku keempat 2023 di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri hari ini.

Chin berkata syarikat itu akan terus menilai semua operasi antarabangsanya di samping memberikan tumpuan sepenuhnya kepada operasi di Malaysia.

Beliau berkata dalam mempertimbangkan sama ada untuk meneruskan perniagaan di lokasi atau negara tertentu, syarikat itu akan sentiasa menilai kebolehlaksanaan, daya maju dan fleksibiliti.

Selain Australia, KPJ Healthcare mempunyai perniagaan di luar negara di Bangladesh dan Thailand, manakala dua tahun lepas, ia keluar dari pasaran Indonesia.

Pada 2023, KPJ Healthcare berjaya memuktamadkan penjualan operasi hospitalnya di Indonesia, Rumah Sakit Medika Bumi Serpong Damai, kepada PT Nusautama Medicalindo, menjana hasil tunai berjumlah RM156.7 juta.

Mengenai prestasi perniagaan di Bangladesh, Chin berkata setakat ini ia baik dan tidak mengalami kerugian, manakala bagi Thailand pada masa ini ia menguntungkan.

Ini kerana di Thailand syarikat itu hanya bertindak sebagai pelabur dan akan mengekalkan perniagaan di sana.

“Ini gambaran tahap perniagaan antarabangsa kami pada masa ini. Jadi, 95-98 peratus perniagaan kami pada masa hadapan adalah di Malaysia.

“Kami mempunyai sejumlah 29 hospital di Malaysia, dan satu sedang dalam pembinaan. Mengapa membina lebih banyak hospital di luar negara sedangkan kami boleh membawa pesakit ke Malaysia dan menggunakan kemudahan serta tenaga kerja kami di sini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan