AM

TAWARAN MASUK PERCUMA: 10 TEMPAT PELANCONGAN MELAKA DISERBU

20/02/2024 04:28 PM

MELAKA, 20 Feb (Bernama) -- Sebanyak 10 tempat pelancongan popular di Melaka diserbu ribuan pengunjung sejak awal pagi ini selepas kerajaan negeri memberi tawaran masuk secara percuma sempena cuti umum negeri bagi memperingati Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada hari ini.

10 lokasi itu ialah Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Zoo Melaka, Balai Cerap Al-Khawarizmi, Melaka Wonderland and Themepark, Taman Laut Negeri Melaka, lima Kelab Golf Negeri Melaka, Muzium Penjara Malaysia Melaka dan Malaysia Heritage Studio.

Tinjauan Bernama di Zoo Melaka di Ayer Keroh setakat 2 petang tadi mendapati hampir 20,000 pengunjung menyerbu zoo kedua terbesar dalam negara itu.

Pengarah Zoo Melaka Zanariah Khamis berkata ada dalam kalangan pengunjung mula berbaris seawal 6 pagi bagi mendapatkan tempat untuk membawa keluarga berjalan-jalan ke pusat konservasi terbabit.

Berikutan itu, beliau berkata pengurusan Zoo Melaka terpaksa memulakan operasi sejam lebih awal iaitu pada 9 pagi berbanding 10 pagi pada hari biasa.

“Sambutan pengunjung ke Zoo Melaka adalah di luar jangkaan dan ada antara mereka telah beratur seawal subuh bagi memastikan menjadi pengunjung terawal walaupun tiada had ditetapkan untuk masuk ke sini.

"Walaupun tiket masuk adalah percuma, pengunjung perlu beratur kerana bagi mendapatkan data kemasukan pengunjung selain memastikan hanya warganegara Malaysia dibenarkan masuk secara percuma manakala pengunjung warg asing perlu membayar harga tiket sebenar," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Zanariah berkata pada mulanya pihaknya hanya membuka empat kaunter tiket pada pagi tadi sebelum menambah dua lagi selain pengurusan Zoo Melaka turut membuka pintu utama serta pintu tambahan bagi melancarkan kemasukan pengunjung.

Beliau berkata 100 staf Zoo Melaka ditugaskan bagi memastikan kelancaran operasi selain dibantu 30 sukarelawan, 20 penguat kuasa Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya dan 10 anggota Polis Diraja Malaysia.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi Korporat Malaysia Heritage Studios (MHS) Aqashah Ghazali berkata pengunjung sanggup beratur seawal 7.30 pagi sebelum operasi masuk destinasi pelancongan baharu yang sebelum ini dikenali sebagai Taman Mini Malaysia dan ASEAN, dibuka bermula 10 pagi tadi.

Beliau berkata sebanyak satu kaunter tiket dibuka di pintu masuk MHS, namun kemasukan pengunjung adalah lancar dan terkawal dan setakat 12 tengah hari tadi, lebih 2,000 pengunjung direkodkan.

"Kita sasarkan jumlah pengunjung yang masuk ke MHS melebihi 5,000 orang dan sebanyak dua sesi dibuka kepada pengunjung bagi memberi laluan kepada petugas melakukan kerja-kerja pembersihan dalam tempoh rehat iaitu antara 12.30 tengah hari hingga 2 petang.

"Kita juga menempatkan petugas operasi untuk mengawal kemasukan kenderaan ke MHS bermula di laluan masuk utama agar tidak berlaku kesesakan," katanya.

Tinjauan Bernama juga mendapati aliran trafik sesak lebih empat kilometer dari kedua-dua arah ke dua destinasi pelancongan itu bermula 8.30 pagi tadi.

Kemuncak sambutan memperingati Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu hari ini akan diadakan di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir.

-- BERNAMA

  

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan