EKONOMI

Taksonomi Asean Versi 2 Berkuat Kuasa Mulai 19 Februari

20/02/2024 03:08 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Lembaga Taksonomi Asean (ATB) mengumumkan bahawa Taksonomi Asean bagi Kewangan Lestari (Taksonomi Asean) Versi 2 yang dikemaskini telah berkuat kuasa mulai 19 Feb, 2024 susulan maklum balas yang diterima daripada pihak berkepentingan pada November 2023.

Taksonomi Asean berfungsi sebagai rujukan utama dalam Asean untuk membimbing modal dan pembiayaan kepada aktiviti yang boleh membantu menggalakkan transformasi sistemik yang diperlukan oleh rantau ini

Lembaga itu dalam satu kenyataan berkata semakan terhadap Taksonomi Asean Versi 2 adalah termasuk penjelasan definisi dan kriteria untuk Objektif Alam Sekitar serta Kriteria Penting di bawah Rangka Kerja Asas.

Sistem ini juga termasuk Grandfathering Rules mengenai bon hijau dan instrumen kewangan hijau yang lain. Peraturan ini mempertimbangkan amalan dalam pasaran lain dan landskap kewangan mampan yang berkembang dalam Asean untuk menggalakkan aliran modal bagi menyokong penyahkarbonan rantau ini, katanya.

"ATB berharap pindaan itu akan memberikan lebih penjelasan kepada pengguna Taksonomi Asean.

“Selanjutnya, selaras dengan aspirasi Asean untuk memudahkan peralihan yang saksama, Taksonomi Asean akan terus disemak dan dikemas kini selaras dengan perkembangan teknologi, saintifik dan ekonomi yang berkembang serta berunding dengan pemegang kepentingan utama dan pengguna Taksonomi Asean,” katanya.

Taksonomi Asean Versi 2 boleh didapati di tapak web berikut - Institut Kewangan Lestari Asia - https://www.sfinstitute.asia/, Persatuan Negara-negara Asia Tenggara - https://asean.org/, dan Forum Pasaran Modal Asean - https://www.theacmf.org/sustainable-finance/publications.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan