AM

Yayasan Rythm Rai Peserta Program Pembangunan Sukarelawan

20/02/2024 01:53 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) --   Yayasan RYTHM, sebuah inisiatif impak sosial bagi konglomerat antarabangsa Kumpulan QI, baru-baru ini meraikan pencapaian mengagumkan 48 peserta Program Pembangunan Sukarelawan kumpulan itu atau Volunteer Development Programme (VDP).

Yayasan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan VDP yang dilancarkan pada Ogos tahun lepas merupakan pemacu inovatif untuk merangsang aktiviti kesukarelawanan dalam kalangan belia dan menggalakkan penglibatan orang awam dengan komuniti setempat.

 "Program ini berjaya menarik puluhan individu yang bersemangat untuk berlatih sebagai sukarelawan dan memberi impak bermakna menerusi khidmat yang aktif. Latihan termasuk mengasah kemahiran peserta dan mengukuhkan pemahaman mereka mengenai tanggungjawab sosial," menurut kenyataan itu.

Menurut yayasan itu, sepanjang enam bulan lepas sukarelawan terbabit telah melibatkan diri dalam kerja-kerja kesuralewanan Yayasan RYTHM.

Secara keseluruhan mereka telah menyumbang lebih 1,162 jam, mengambil bahagian dalam 197 sesi kesukarelawanan, melaksanakan empat projek pengumpulan dana serta mengumpul RM4,289.50 untuk tujuan amal.

Pengerusi Yayasan RYTHM Datin Seri Umayal Eswaran berkata sambutan hari ini bukan sahaja bertujuan meraikan pencapaian sukarelawan, tetapi juga semangat tidak mementingkan diri dan jasa yang dicurahkan mereka yang mentakrifkan inti pati RYTHM - 'Raise Yourself to Help Mankind’ atau ‘Tingkatkan Diri Anda untuk Membantu Sesama Manusia'.

Sementara itu, pensyarah Kolej Antarabangsa INTI Subang yang juga rakan VDP, Punitha Sivanantha berkata program tersebut merupakan platform terbaik untuk pelajar mempelajari isu sebenar di lapangan dan bagaimana mereka boleh membuat perubahan. 

"Menerusi VDP, kami telah menaikkan semangat dan menyemai keazaman untuk perubahan dalam kalangan penggerak belia ini. Saya berharap dapat menyaksikan sumbangan mereka yang berimpak dan berterusan kepada masyarakat kurang bernasib baik di Malaysia pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Sukarelawan, How Yu Qian berkata VDP membuka peluang buatnya menyertai aktiviti kesukarelawanan yang melatih diri untuk keluar dari zon selesa, selain terdedah kepada realiti sukar yang dihadapi masyarakat kurang bernasib baik. 

Berpegang pada kepercayaan bersama bahawa tindakan kolektif mampu mendorong perubahan positif, para peserta VDP menunjukkan semangat kerjasama dan dedikasi untuk mewujudkan dunia yang lebih baik untuk semua.

Program itu selaras dengan kempen yayasan tersebut bagi 2024 #RiseWithRYTHM yang menggabungkan teori dengan pengalaman bidang praktikal.

VDP turut mewujudkan persekitaran pembelajaran yang dipercepat, sejajar dengan misi kempen untuk memperkasa individu melalui tindakan.

Program Yayasan RYTHM termasuk membantu komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang kurang mendapat perhatian, Orang Asli, kanak-kanak, belia dan wanita.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan