JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen Johor Tahan 32 Warga Asing Bekerja Tanpa Permit, Tinggal Lebih Masa

20/02/2024 01:31 PM

 JOHOR BAHRU, 20 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 32 warga asing dalam Ops Sapu dan Ops Selera di sekitar daerah ini dan Kulai, Ahad lepas.

Pengarah JIM Johor Baharuddin Tahir berkata operasi yang bermula dari pukul 3 petang hingga 11.30 malam itu dijalankan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa JIM Johor, yang memeriksa beberapa premis susulan aduan awam berkaitan kemunculan ramai warga asing dipercayai bekerja tanpa permit yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini.

Beliau berkata daripada 79 warga asing diperiksa dalam operasi, 32 yang ditahan atas pelbagai kesalahan itu terdiri daripada 12 lelaki dan tiga wanita Myanmar, enam lelaki Pakistan, lima lelaki India, seorang lelaki Vietnam, seorang wanita Filipina, seorang lelaki dan dua wanita serta seorang kanak-kanak perempuan Indonesia,

Dalam kenyataan di sini hari ini beliau berkata warga asing paling muda ditahan dalam operasi itu adalah kanak-kanak perempuan berkenaan yang berumur dua tahun, manakala paling tua berumur 52 tahun.

Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) dan Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Operasi penguatkuasaan giat dijalankan di negeri ini bagi membanteras isu kebanjiran pendatang tanpa izin yang dilihat semakin galak menguasai sesuatu kawasan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan