DUNIA

Jerayawara India 2024 Di Kl Lakar Hala Tuju Kerjasama Masa Depan - Pesuruhjaya Tinggi B.n. Reddy  

20/02/2024 11:48 AM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Malaysia selaku rakan strategik bagi India dan rakan kerjasama penting untuk pembangunan dan kemakmuran Global South memainkan peranan penting dalam hala tuju pertumbuhan berterusan India, kata Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B. N Reddy.

Beliau berkata hubungan pelaburan dua hala antara kedua-dua negara berada di landasan yang kukuh dan telah berkembang merentasi pelbagai sektor.

Bagaimanapun, untuk menjalin perkongsian pelaburan bagi dekad akan datang, Malaysia dan India perlu mengeratkan lagi kerjasama dalam bidang tumpuan penting seperti tenaga boleh diperbaharui,  pembuatan semikonduktor & elektronik dan industri pemula.

Sehubungan itu, beliau berkata Jerayawara Promosi Pelaburan & Perdagangan India 2024 akan diadakan selama dua hari mulai Selasa (20 Feb) di Kuala Lumpur, melibatkan delegasi terdiri 20 anggota dari India, termasuk pegawai kanan dan pemimpin industri yang diketuai oleh Timbalan Menteri Perdagangan & Industri India Rajesh Kumar Singh.

Jerayawara anjuran Invest India, Agensi Penggalakan dan Pemudahcara Pelaburan Kebangsaan India dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia, Majlis Perniagaan Malaysia-India, Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia dan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia; dan dengan penglibatan aktif Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI) Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Reddy berkata demikian dalam artikel yang dikongsi dengan BERNAMA, bertajuk “Towards intensifying India-Malaysia Investment Partnership for next decade: India Roadshow 2024 -Charting roadmap for future collaboration in bilateral investments”.

Memandangkan India menduduki tempat keempat dalam kapasiti terpasang tenaga boleh diperbaharui global dan usahanya yang berterusan untuk memastikan akses tenaga yang mampan dan berpatutan kepada 1.4 bilion orang, ia membuka peluang yang luas kepada syarikat Malaysia terutamanya dalam  infrastruktur tenaga.

Ini termasuk bidang utama seperti bumbung solar, biobahan api, Hidrogen Hijau, pengurusan sisa (sektor Biogas).

Reddy berkata sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) harus menonjol dalam campuran pelaburan India-Malaysia dan syarikat Malaysia sudah pun menyedari potensi besar untuk kerjasama pelaburan dalam bidang tenaga hijau dengan India.

“Sejak tahun 2019, penglibatan Petronas dalam sektor RE India telah meningkat secara beransur-ansur melalui Gentari. Gentari memperoleh sebanyak 30 peratus saham dalam AM Green Ammonia Holdings BV milik Greenko India untuk menghasilkan lima juta tan amonia hijau setiap tahun menjelang 2030.

“Kerjasama Gentari dengan ReNew Energy Global India untuk menjalankan usaha sama 50:50 untuk kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 5 GW. Gentari juga telah bekerjasama dengan Tata Motors dan Gati India dalam mobiliti elektrik,” katanya.

Reddy berkata model kerjasama sedemikian perlu dicontohi selain menggalakkan lebih banyak perkongsian antara Malaysia dan India dalam sektor hijau serta tenaga boleh diperbaharui untuk melakar lebih banyak kemajuan pada masa depan. 

Sama seperti sektor tenaga boleh diperbaharui, beliau berkata sektor pembuatan elektronik dan semikonduktor merupakan satu lagi sektor utama yang menawarkan potensi besar untuk kedua-dua negara menjalinkan kerjasama. 

Malaysia yang memiliki kelebihan dalam sektor E&E dan menguasai 15 peratus daripada rantaian nilai semikonduktor global, mampu muncul sebagai rakan kongsi dalam kerjasama teknologi, pembinaan kapasiti dan pembangunan kemahiran.

Beliau berkata penekanan Malaysia ke atas sektor elektronik & semikonduktor menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dilihat selari dengan inisiatif India dalam sektor ini.

"Sebagai contoh, penubuhan pejabat India di Bengaluru oleh syarikat Infinecs Malaysia yang berpusat di Pulau Pinang yang menawarkan perkhidmatan reka bentuk elektronik...," katanya.

Sektor startup adalah sektor ketiga yang harus menjadi fokus utama untuk melaksanakan perkongsian India-Malaysia untuk dekad akan datang, walaupun India dan Malaysia telah bekerjasama dalam bidang ini kini sudah tiba masanya untuk meningkatkan lagi kerjasama.

Langkah ke arah usaha itu sudah pun bermula dengan Startup India, agensi utama yang mempromosi permula India dan Malaysia’s Cradle Fund, kini bekerjasama untuk menubuhkan India-Malaysia Startup Bridge. 

Dengan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030, India dan Malaysia boleh menjadi rakan kongsi untuk kerjasama dalam sektor startup.

Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan India diketuai Perdana Menteri Narendra Modi telah bekerja secara intensif untuk mengukuhkan Enhanced Strategic Partner India-Malaysia dan mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk pelaburan dan promosi perdagangan yang lebih luas.

Sehubungan itu, jerayawara berkenaan tepat pada masanya dan menyediakan acara penting untuk merangka pelan hala tuju kerjasama untuk dekad seterusnya dalam bidang utama seperti tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor dan pembuatan elektronik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan