EKONOMI

Industri Perbankan Perlu Terus Kekal Berdaya Saing Untuk Tangani Cabaran Global - PM Anwar

19/02/2024 07:16 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Industri perbankan negara digesa untuk terus kekal berdaya saing bagi menangani keserentakan fenomena tiga C iaitu Complexity (kerumitan), Chaos (kehuru-haraan) and Contradictions (percanggahan) di era pasca normal pada masa sekarang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau berkata memandangkan industri kewangan memainkan peranan penting untuk menyokong ekonomi negara, bank-bank perlu mempunyai kudrat tinggi untuk kekal berdaya tahan dengan fenomena tiga C itu. 

Anwar turut menekankan bahawa institusi kewangan menjadi tonggak dalam sistem ekonomi negara dan sekiranya industri itu kekal teguh ia akan dapat meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur. 

“Bank-bank perlu menggalas tanggungjawab untuk bersama kerajaan menjayakan reformasi ekonomi yang diketengahkan dalam Ekonomi MADANI. 

“Kerangka ini berhasrat untuk membawa transformasi ekonomi dengan menjulang nilai ekonomi dalam rantaian bekalan dunia serta menambah baik kemampanan ekonomi negara,” kata beliau semasa berucap pada majlis peluncuran myimpact SME Hub anjuran Malayan Banking Bhd (Maybank), di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis peluncuran tersebut ialah Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R.Ramanan dan Pengerusi Kumpulan Maybank Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa.

Perdana Menteri berkata kerangka Ekonomi MADANI menumpu kepada tiga industri iaitu peralihan tenaga, keterjaminan makanan dan transformasi digital untuk mengukuhkan kedudukan negara. 

Sehubungan itu, kata beliau, bagi memastikan kesaksamaan kekayaan dapat ditegakkan, Ekonomi MADANI perlu menekankan untuk membawa sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) menyertai industri tersebut.

Sementara itu, Anwar turut berbangga dengan kejayaan dan prestasi Maybank di Malaysia dan juga di peringkat serantau sebagai sebuah institusi kewangan gergasi yang telah melakar sejarah dengan perkembangan ekonomi negara. 

Antara kejayaan Maybank termasuklah menggunakan instrumen kewangan yang lebih canggih dan mematuhi peraturan ketat yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM), kata beliau. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan