SUKAN

SKUAD WANITA INDIA JUARAI BATC 2024

18/02/2024 05:14 PM

SHAH ALAM, 18 Feb (Bernama) -- Pasukan wanita India menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 selepas menundukkan Thailand 3-2 pada aksi final yang sengit di Pusat Konvesyen Setia City di sini hari ini.

Pemain perseorangan Pusarla V. Sindhu memulakan kempen perlawanan dengan cemerlang apabila hanya memerlukan 39 minit untuk menumpaskan Supanida Katethong 21-12 dan 21-12. 

Bagaimanapun pasangan Tressa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela yang menewaskan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai pada set pertama dengan 21-16 terpaksa berhempas pulas dalam perlawanan yang diseret ke set penentuan selepas tewas di set kedua 18-21 dan memenanginya  dengan keputusan 21-16. 

Kehadiran pemain perseorangan Thailand Busanan Ongbamrungphan ternyata mengancam kedudukan kukuh pasukan India apabila pemain ranking ke-18 dunia itu menewaskan Ashmita Chaliha 21-11 dan 21-14 sebelum beregu wanita India, Priya Konjengbam-Shruti Mishra turut ditumpaskan pasangan adik-beradik Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard 11-21 dan 9-21. 

Manakala pemain remaja Anmol Kharb (ke-472 dunia) sekali lagi muncul hero buat India untuk menunjukkan aksi menakjubkan sekali gus menewaskan Pornpicha Choeikeewong 21-14 dan 21-9. 

Sementara itu, Anmol yang merupakan juara kebangsaan India 2023 berkata kemenangan itu turut dipengaruhi aura yang dibawa jurulatih pasukan India, Pullela Gopichand yang dianggap telah banyak menabur jasa dan bakti kepada mereka. 

“Beliau umpama Bapa Badminton India ia merupakan perkara yang utama bagi saya. Jadi saya gembira beliau berada di  belakang saya.

(Beraksi di BATC 2024) saya mendapat pengalaman bermakna kerana setiap orang adalah senior dan pemain dengan raking lebih tinggi jadi ia juga merupakan satu pencapaian,” katanya yang merasakan kemenangan di BATC sangat besar buatnya yang berumur 17 tahun ketika ini. 

Anmol turut berkata kejayaan membenam dua pasukan handalan dunia iaitu China dan Jepun, masing-masing di peringkat kumpulan (14 Feb) dan separuh akhir semalam (17 Feb) telah memberi keyakinan tinggi kepada pasukan untuk berjuang sehingga tamat perlawanan. 

Beliau yakin kejayaan itu pasti tular di negaranya sekali gus dapat mengukir senyuman bangga kepada peminat badminton India. 

“Semalam juga viral di India dan orang-ramai berkata anda bermain dengan baik dan menewaskan pasukan ternama seperti Jepun dan China jadi perkara seperti hari ini akan ada sambutan besar-besaran di India,” katanya.

Gelaran berkenaan merupakan buat julung kalinya bagi pasukan wanita manakala pasukan badminton lelaki India sebelum ini pernah memenangi pingat gangsa masing-masing pada 2016 dan 2020.

Pasukan lelaki India bagaimanapun tersungkur 2-3 kepada Jepun di peringkat suku akhir BATC 2024. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan