SUKAN

Tiada Kelibat Zii Jia Di Pentas Final Batc 2024

18/02/2024 02:32 PM

SHAH ALAM, 18 Feb (Bernama) -- Peminat badminton tanah air terlepas peluang menyaksikan jaguh perseorangan utama negara Lee Zii Jia untuk beraksi pada pentas final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) hari ini, selepas juara Seluruh England 2021 itu tidak berada dalam keadaan sihat selepas perlawanan menentang Jepun, semalam.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi hantaran di Instagram rasmi memaklumkan Zii Jia terpaksa direhatkan, apabila mengalami kesukaran bernafas akibat resdung.

“Selepas perlawanan semalam, Lee Zii Jia menghadapi masalah pernafasan akibat sinus beliau dan tidak pulih sepenuhnya untuk perlawanan hari ini. Semoga cepat sembuh Zii Jia… berikan sokongan anda,” menurut kenyataan itu.

Pasukan lelaki negara hanya selangkah lagi untuk mempertahankan gelaran apabila mara ke final BATC hari ini selepas menewaskan Jepun 3-1 pada perlawanan separuh akhir di Pusat Konvesyen Setia City semalam. 

Zii Jia berjaya menyumbang satu mata berharga pada perlawanan itu, apabila dengan mudah menewaskan Kenta Nishimoto, 21-18 dan 21-15. 

Zii Jia sebelum ini turut direhatkan pada perlawanan suku akhir menentang Singapura pada Jumaat (16 Feb), selepas dilaporkan turut mengalami masalah sama selepas perlawanan akhir peringkat kumpulan menentang Taiwan pada Khamis (15 Feb).

Dalam masa sama, perseorangan negara Ng Tze Yong turut terpaksa menarik diri pada aksi suku akhir menentang Singapura pada Jumaat (16 Feb), selepas dipercayai mengalami kecederaan belakang sekali lagi seperti dilaluinya ketika Terbuka Malaysia bulan lepas.

Tze Yong hanya bertahan kira-kira tiga minit untuk merekodkan 1-3 ke atas Jason Teh.

Berdasarkan jadual perlawanan terkini dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk perlawanan final bertemu China, Leong Jun Hao yang kini berada di ranking ke-38 dunia diturunkan sebagai perseorangan pertama negara, untuk menentang pemain ke-16 dunia Weng Hong Yang.

Manakala pasangan juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan berhadapan Xie Hao Nan-Zeng Wei Han, diikuti perseorangan negara Eogene Ewe (ranking ke-298 dunia) akan bertemu pemenang Cabaran Hangzhou China 2023 Lei Lan Xi.

Beregu negara Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani pula akan berhadapan Liu Yi-Ren Xiang Yu, manakala pemain beregu negara Muhammad Haikal Nazri diturunkan sebagai perseorangan ketiga negara untuk berlawan bersama Wang Zheng Xing.

Muhammad Haikal merupakan pasangan kepada Choong Hon Jian dan pernah memenangi gelaran Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi India 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan