SUKAN

Hadiah Hari Lahir, Kalahkan Jepun - Wooi Yik

17/02/2024 11:16 PM

SHAH ALAM, 17 Feb (Bernama) - Pemain beregu lelaki utama negara Soh Wooi Yik tersenyum bangga selepas berjaya menewaskan beregu Jepun bersama pasangannya, Aaron Chia di hari ulang tahun kelahirannya yang ke-26 hari ini pada aksi separuh akhir pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di sini hari ini.

Wooi Yik, juara dunia 2022 itu berkongsi peristiwa kekalahan kepada pasangan Jepun pada kejohanan sama dua tahun lepas menjadi pembakar semangat buatnya untuk bangkit menewaskan Akira Koga-Taichi Saito dengan  menamatkan permainan yang diheret ke set penentuan itu dengan keputusan 15-21, 21-17 dan 21-10 di Pusat Konvesyen Setia City.

"Pada kejohanan BATC dua tahun lalu, saya juga kalah dengan Jepun masa hari lahir. Jadi ia bagi semangat untuk saya bangkit, tidak boleh kalah macam ini. Hari lahir jadi mahu tunjuk (terbaik) kepada peminat (yang hadir).

Harapan untuk tahun ini? Memang harap saya dan Aaron kejar impian di Sukan Olimpik dan dapat emas untuk Malaysia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B pada kejohanan BATC 2022 menyaksikan Aaron-Wooi Yik ditumpaskan Ayato Endo-Yuta Takei, 21-23 dan 16-21 sehari selepas hari lahirnya (18 Feb).

Bagaimanapun Malaysia tetap mara ke final kejohanan sama untuk menjulang piala berkenaan buat julung kalinya dengan menewaskan juara bertahan Indonesia 3-0.

Terdahulu, pada edisi 2024 hari ini menyaksikan pasukan lelaki negara hanya selangkah lagi untuk mempertahankan gelaran apabila mara ke final BATC, esok selepas menewaskan Jepun 3-1 pada perlawanan separuh akhir. 

Malaysia akan berhadapan perlawanan getir bertemu China pada 4 petang, selepas negara Tembok Besar itu mengalahkan Korea Selatan 3-2 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan