AM

Kerajaan Negeri Bantu Penempatan Semula Warga Mahb Terkesan Projek Pembesaran Ltapp

17/02/2024 06:20 PM

BUKIT MERTAJAM, 17 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyelesaikan penempatan semula lebih 50 warga kerja Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang terkesan dengan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP). 

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata penempatan semula itu membabitkan mereka yang menetap di kuarters dan ditawarkan rumah mampu milik di Teluk Kumbar.

“Peranan kerajaan negeri adalah terhad kerana projek ini dikendalikan oleh MAHB. Fasa yang akan dilaksanakan ini tidak melibatkan pengambilan tanah, jadi kerajaan negeri hanya boleh bantu dari segi penempatan semula kuarters di atas tapak itu," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Batu Kawan di Juru hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan kerja ke Pulau Pinang mengumumkan Kerajaan Persekutuan bersetuju mempercepat projek pembesaran LTAPP.

Chow berkata pihaknya menyambut baik pengumuman itu kerana jumlah pelancong ke Pulau Pinang semakin meningkat.

“Projek ini perlu disegerakan memandangkan sektor pelancongan sudahpun pulih selain penambahan penerbangan ke Pulau Pinang… dengan penambahan itu, ia menjadikan keadaan lebih mendesak dan untuk projek ini disiapkan pun mengambil masa paling kurang tiga tahun maka usaha untuk menambah penerbangan mungkin terhalang jika kemudahan tidak mencukupi di lapangan terbang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan