AM

60 Perpustakaan Desa Dijadikan Pusat Pendaftaran Tambahan Padu

17/02/2024 08:11 PM

PUTRAJAYA, 17 Feb (Bernama) -- Sebanyak 60 perpustakaan desa telah dijadikan sebagai pusat pendaftaran tambahan untuk Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata ia merupakan usaha Jabatan Perangkaan (DOSM) menjalin kerjasama strategik dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bagi menambah kaunter fizikal dalam menggalakkan lebih ramai rakyat berdaftar dengan PADU.

“60 perpustakaan desa adalah sebagai pusat pendaftaran tambahan untuk PADU di samping lebih 900 Pusat Ekonomi Digital (PEDi), Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

“Pendaftaran PADU akan dibuka hingga 31 Mac 2024. Rakyat Malaysia dinasihatkan agar tidak melaksanakan pengemaskinian PADU pada saat-saat akhir kerana ia akan mengakibatkan kesesakan pada sistem,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi membantu pengemaskinian secara kendiri, orang ramai boleh menghubungi talian hotline 1-800-88-7720 / 21 yang beroperasi bermula 8 pagi hingga 9 malam setiap hari.

Sebarang maklum balas, aduan, penghargaan, pertanyaan serta cadangan penambahbaikan berkenaan sistem dan mekanisme pelaksanaan PADU boleh disalurkan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) PADU https://padu.spab.gov.my.

Sistem PADU telah dilancarkan pada 2 Jan lepas dan rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas boleh membuat pendaftaran dan kemas kini maklumat individu hingga 31 Mac. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan