JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Bersenjata Api Disyaki Penjenayah Maut Ditembak Polis

16/02/2024 10:34 PM

JITRA, 16 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki yang bersenjata api, disyaki penjenayah, maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di Jalan Bukit Kechil, Napoh dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata dalam insiden pada 5.30 petang itu, sepasukan polis Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah yang sedang melakukan rondaan Op Laras di jalan terbabit mengarahkan kereta dipandu suspek berhenti selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata suspek enggan berhenti namun keretanya telah terbabas ke kiri jalan dan terhenti sebelum dia bertindak melepaskan dua das tembakan.

"Polis kemudian membalas tembakan untuk mempertahankan diri dan kita telah berjaya menumpaskan lelaki berumur 57 tahun itu.

"Pemeriksaan dalam kereta suspek menemukan dua pucuk pistol dan sejumlah peluru yang kita rampas. Peluru 9 milimeter (mm) 100 butir, .38 juga 100 butir. Kita dapat juga peluru 5.56 yang digunakan untuk raifal seperti M-16," katanya pada sidang media di lokasi kejadian malam ini.

Fisol berkata siasatan awal mendapati suspek memiliki empat rekod jenayah membabitkan dadah dan senjata api tiruan.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Fisol berkata lokasi kejadian adalah laluan yang sunyi dan kurang digunakan dan pihaknya juga akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui sama ada suspek terlibat dengan mana-mana sindiket.

Mayat suspek, katanya, dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan