EKONOMI

Kdnk Malaysia Berkembang 3.7 Peratus Pada 2023, 3.0 Peratus Pada Suku Keempat

16/02/2024 02:12 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 3.7 peratus pada 2023, selepas berkembang sebanyak 3.0 peratus pada suku keempat tahun lepas, disokong oleh aktiviti ekonomi dan keadaan pasaran pekerja yang terus pulih.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata pertumbuhan sederhana dalam persekitaran luaran yang mencabar pada tahun lepas, berikutan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 8.7 peratus dicatatkan pada 2022.

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi menguncup sebanyak 2.1 peratus berbanding pertumbuhan sebanyak 2.6 peratus pada suku ketiga. 

“Dalam negeri, walaupun tiada sokongan dasar yang besar apabila ekonomi mula berkembang pada 2022, aktiviti ekonomi dan keadaan pasaran pekerja yang terus pulih telah menyokong pertumbuhan pada 2023,” menurut bank pusat itu dalam kenyataan hari ini.

Katanya lebihan akaun semasa pada 2023 mampan pada 1.2 peratus daripada KDNK, disokong oleh kepelbagaian struktur eksport dalam pasaran dan produk walaupun persekitaran luaran mencabar.

“Kekukuhan kedudukan luaran juga dicerminkan oleh hutang luar negeri yang menurun kepada 68.2 peratus daripada KDNK pada 2023 (suku ketiga 2023: 69 peratus) dan kedudukan pelaburan antarabangsa bersih yang lebih tinggi iaitu 6.6 peratus daripada KDNK pada 2023 (suku ketiga 2023: 5.2 peratus),” katanya. 

BNM menekankan bahawa yang penting, hutang luar negeri kekal terurus berikutan profil tempoh matang dan mata wang yang menggalakkan.

Katanya satu pertiga daripada hutang luar negeri adalah dalam denominasi ringgit, mengehadkan risiko mata wang, manakala kira-kira 70 peratus daripada hutang mempunyai tempoh jangka sederhana dan panjang. 

Peminjaman dalam mata wang asing juga adalah tertakluk kepada keperluan kehematan Bank Negara Malaysia (BNM) dan terus terdiri terutamanya daripada pinjaman antara kumpulan secara konsesi.

Pada suku keempat 2023, perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan tekanan kos yang mereda.

Selain itu, kadar pengangguran menurun kepada paras sebelum pandemik iaitu 3.3 peratus manakala kadar penyertaan tenaga kerja mencapai paras tertinggi pada 2023. 

Sementara itu, pertumbuhan dalam aktiviti pelaburan disokong oleh pelaksanaan projek jangka masa panjang yang progresif dan pengembangan kapasiti oleh syarikat. 

Bagaimanapun, katanya eksport kekal lembap disebabkan oleh kelemahan permintaan luaran yang berpanjangan dalam keadaan import yang lebih kukuh. Dari segi penawaran, terdapat pengembangan yang meluas. 

Bagi ringgit, mata wang itu menambah nilai sebanyak 2.1 peratus berbanding dolar AS pada suku keempat 2023, selaras dengan mata wang serantau susulan penurunan nilai dolar AS yang meluas.

“BNM akan terus memastikan mudah tunai mencukupi untuk menyokong fungsi pasaran pertukaran asing domestik yang teratur,” katanya.

BNM menjelaskan inflasi keseluruhan terus turun kepada 1.6 peratus pada suku keempat 2023, disumbangkan oleh pengurangan inflasi makanan segar dan inflasi teras.

Bagi keseluruhan 2023, inflasi keseluruhan susut kepada 2.5 peratus daripada 3.3 peratus pada 2022 manakala inflasi teras berpurata pada 3.0 peratus.

Bagi 2024, pertumbuhan akan didorong oleh perbelanjaan dalam negara yang berdaya tahan dan permintaan luaran yang bertambah baik, dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan perdagangan global kembali meningkat daripada 0.4 peratus pada 2023 kepada 3.3 peratus pada 2024.

“Bersama-sama dengan peningkatan kitaran teknologi, permintaan luaran yang lebih kukuh dan sektor pelancongan yang terus bertambah baik akan memberikan sokongan kepada eksport Malaysia,” jelas BNM.

Di peringkat domestik, perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan.

BNM menjelaskan aktiviti pelaburan akan disokong oleh kemajuan lanjut projek jangka masa panjang oleh sektor swasta dan awam serta pelaksanaan inisiatif pemangkin mengikut pelbagai pelan induk nasional.

Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus bertambah baik, tambahnya.

“Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar.

“Bagaimanapun, kemungkinan pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu,” jelas BNM.

BNM juga mengunjurkan inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal sederhana pada 2024.

“Pada 2024, inflasi dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan kos dan permintaan yang stabil.

“Bagaimanapun, prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negara mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan