AM

Hotel Parkroyal A'famosa Melaka Tawar Perkhidmatan, Layanan Setulus Hati

16/02/2024 04:19 PM

ALOR GAJAH, 16 Feb (Bernama) -- Pihak pengurusan dan warga kerja PARKROYAL A'Famosa Melaka Resort menawarkan perkhidmatan setulus hati bagi membolehkan para tetamu menikmati penginapan mereka di permata terkini PARKROYAL Hotels and Resorts.

Pengurus Besar PARKROYAL A'Famosa Melaka Resort Anthony Quin berkata setiap warga kerjanya harus dan paling utama, berusaha memberikan layanan setulus hati kepada para tetamu kerana perkara itu yang akan membezakan mereka dengan tempat lain.

“Jadi saya rasa perbezaan paling ketara ialah layanan kami (kepada para tetamu). Semua tempat memiliki rumah tamu, kolam renang dan pelbagai aktiviti namun jika kami mampu memberikan perkhidmatan serta layanan setulus hati, ia akan menjadi sesuatu yang kompetitif," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dikelilingi suasana tenang berlatarbelakangkan kehijauan serta keindahan taman tropika dan bukit-bukau, Anthony berkata resort dengan 213 bilik itu terletak di kawasan strategik A'Famosa di Simpang Ampat di sini turut mengadap padang golf 27 lubang selain memiliki perjalanan singkat ke bandaraya Melaka dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata para tetamu boleh menikmati pengalaman percutian yang merangkumi segalanya kerana PARKROYAL A'Famosa Melaka Resort terletak bersebelahan dengan Freeport A'Famosa Outlet and Coach Airways serta Safari Wonderland dan Taman Tema Air.

"Banyak aktiviti boleh dilakukan di sini seperti membeli-belah dan beriadah, baik untuk si isteri mahupun si suami atau anak mereka," katanya.

Anthony juga berkata rekaan resort itu mempunyai sentuhan tempatan yang menyegarkan seperti jubin Istana Melaka serta Peranakan dan para tetami boleh menikmati masa mereka di sana dengan memilih bilik menepati selera mereka daripada Superior, Deluxe, Bilik Kelab PARKROYAL, Bilik Suite Premier yang eksklusif dan Bilik Suite PARKROYAL.

Resort itu dilengkapi dengan pelbagai fasiliti termasuk kolam renang dewasa dan kanak-kanak yang cantik serta berlandskapkan gelongsor air, gimnasium 24 jam, ruang dalaman untuk kanak-kanak, taman permainan luar untuk kanak-kanak serta Susana Spa yang bakal dibuka tidak lama lagi.

Bagi pilihan untuk menjamu selera, resort ini memiliki tempat makan yang dibuka sepanjang hari iaitu Spice Brasserie, Pool Lounge dan Restoran Cina Ya Yuen yang halal akan turut dibuka tidak lama lagi.

Dewan Utama PARKROYAL pula dilengkapi teknologi terkini dengan peralatan canggih yang mampu menampung 700 orang bagi gaya bankuet dan lapan bilik mesyuarat yang boleh memuatkan acara bersaiz kecil hingga sederhana sama dalam bentuk teater, bilik darjah atau jamuan makan malam.

Ia turut menawarkan bufet makan malam Sajian Warisan Kampung dari 15 Mac hingga 7 April dan baucar pelanggan awal boleh dibeli pada harga RM125 bagi setiap orang dewasa dan RM75 bagi setiap kanak-kanak atau warga emas sebelum 15 Mac.

Mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang parkroyalhotels.com atau menghubungi nombor telefon di 06-608 8888 atau e-mel kepada enquiry.prmlk@parkroyalhotels.com.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan