EKONOMI

Bangsar Heights Pavilion Jangka Hyatt Place Johor Bahru City Centre Dapat Sambutan Hebat

15/02/2024 05:07 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) — Pemaju hartanah Bangsar Heights Pavilion Sdn Bhd (BHP) menjangkakan Hyatt Place Johor Bahru City Centre (JBCC) yang memiliki 200 bilik akan mendapat sambutan yang baik pada pertengahan Mac atau April tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif BHP Aaron Yap berkata hampir 90 peratus pangsapuri perkhidmatan telah dijual sejak ia dilancarkan pada September tahun lepas.

“Pencapaian ini adalah berita baik dan galakan kepada Hyatt yang mana pasaran menunjukkan sokongan padu untuk projek BHP,” kata beliau dalam ucaptamanya di majlis menandatangani perjanjian perkongsian di antara BHP dan Hyatt Hotels Corporation untuk menguruskan Hyatt Place JBCC, yang terletak di Quayside JBCC di Johor Bahru.

Quayside JBCC ialah projek pembangunan bercampur pegangan bebas yang terdiri daripada peruncitan, hotel, suite perkhidmatan dan santapan mewah sky bar dengan jangkaan nilai pembangunan kasar sebanyak RM600 juta.​

Yap berkata Quayside JBCC bersedia untuk menjadi hab yang terkemuka untuk membeli-belah, menjamu selera, hiburan dan perniagaan kerana ia terletak secara strategik di daerah komersial yang berkembang pesat di Johor Bahru.

“Pembangunan ini mempunyai ruang yang boleh dipajak secara eksklusif, merangkumi pelbagai jenis kedai runcit, restoran, kafe dan kemudahan riadah,” tambahnya.

Sementara itu, Naib Presiden Serantau Pembangunan Hyatt Hotel Corporation Bastien Touzeau berkata kewujudan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura juga menjadi bukti kepada hubungan kukuh di antara Singapura dan Johor Bahru.

“Ia akan memanfaatkan Hyatt Place JBCC dengan masa perjalanan dikurangkan kepada lima minit sahaja dalam era baharu ketersambungan dan kemudahan yang akan meningkatkan lagi sinergi dan peluang perniagaan di antara dua hab dinamik tersebut,” tambahnya.

BHP ialah anak syarikat Bangsar Heights Group, mewarisi legasi lebih 30 tahun pengalaman dalam membangunkan hartanah kediaman, komersial dan perindustrian di Malaysia.

Syarikat itu mempunyai portfolio lebih 50 pembangunan yang telah siap dan dijual dengan nilai pembangunan kasar melebihi RM5 bilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan