EKONOMI

MATRADE, KUSKOP, SME BANK TERAJU 11 SYARIKAT F&B MALAYSIA KE MISI UAE

15/02/2024 04:38 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta SME Bank akan menerajui 11 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri makanan dan minuman (F&B) ke misi pecutan eksport di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

MATRADE melalui satu kenyataan hari ini menjelaskan misi itu diadakan sempena pameran perdagangan makanan, minuman dan bahan makanan premium yang terbesar antarabangsa iaitu Gulfood 2024 di Dubai mulai 17 Feb hingga 24 Feb, 2024.

"Fokus utama misi ini adalah bagi memperkasakan PKS Malaysia untuk meneroka pasaran global, khususnya Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) melalui hubungan dengan pembeli terkemuka.

"Misi ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform untuk mempamerkan kecemerlangan Malaysia dalam sektor F&B di pentas global tetapi menyediakan pintu masuk kepada PKS mengakses pasaran yang belum diterokai," kata Pengarah Bahagian Transformasi dan Perdagangan Digital MATRADE Khairul Nizam Moonier.

Di bawah kerjasama tiga hala antara MATRADE, KUSKOP dan SME Bank, 69 PKS Malaysia ini telah dibantu melalui enam inisiatif dari 2022 hingga 2023, merangkumi pelbagai sektor seperti F&B, penjagaan kesihatan, teknologi maklumat dan komunikasi serta minyak dan gas.

'Usaha ini telah menghasilkan penjanaan jualan eksport bernilai RM1.19 bilion," kata MATRADE.

MATRADE kekal komited untuk terus membantu PKS melalui usaha kerjasamanya, yang berfungsi sebagai saluran berkesan bagi pengeluar Malaysia serta perkhidmatan profesional pembekal untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan bertaraf dunia mereka di peringkat global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan