AM

Replika Jubah Nabi Adam Antara Tarikan Festival Seni Al-quran

14/02/2024 04:08 PM

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Replika jubah Nabi Adam setinggi 60 hasta adalah antara tarikan utama buat pengunjung Festival Seni Al-Quran Restu Global di Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14, Putrajaya yang akan bermula dari 23 Feb hingga 3 Mac ini.

Pengarah Komunikasi Korporat Yayasan Restu Norashikin Abdul Latiff berkata selain pameran jubah itu, beberapa aktiviti menarik turut dirancang bagi memeriahkan festival berkenaan yang sudah memasuki edisi kedua.

“Untuk tahun ini, kita bukan sahaja tertumpu kepada aspek kesenian al-Quran seperti kaligrafi dan kecantikan seni khat al-Quran, tetapi kita perluas kepada aspek lain juga. 

“Antaranya makanan sunah dan seni bela diri yang ada kaitan dengan al-Quran itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Norashikin berkata turut disediakan ialah pelbagai aktiviti untuk pengunjung seperti penulisan kaligrafi, kemudahan gerai pameran dan jualan, forum, kursus solat jenazah dan forensik solat.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya menyasarkan 100,000 pengunjung hadir ke festival itu tahun ini berbanding 60,000 orang pada tahun lepas.

Beliau berkata festival itu terbuka kepada semua golongan masyarakat dan tiada yuran kemasukan dikenakan kepada pengunjung.

“Sasaran kita kali ini, nak tarik orang yang bukan Islam untuk hadir ke pameran ini sebab kita mahu jadikan festival ini sebagai satu daripada medium dakwah,” katanya.

Menurut Norashikin, festival 10 hari itu akan dibuka dari 9 pagi hingga 6 petang pada hari bekerja, manakala pada hujung minggu orang ramai boleh hadir bermula 9 pagi hingga 9 malam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan