DUNIA

China Tumpu Ke Arah Inisiatif Peradaban Global

13/02/2024 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- China terus melaksanakan Inisiatif Peradaban Global (GCI) yang bertujuan mempromosikan tamadun dan memupuk kemesraan antara rakyat dari pelbagai negara, kata Menteri Kedutaan China di Malaysia, Zheng Xuefang.

Beliau berkata negara Tembok Besar itu akan mengeratkan persahabatan, memupuk sikap saling mempercayai dan menumpukan kepentingan dengan jiran mereka serta berganding bahu dengan negara-negara membangun demi menghasilkan lebih banyak pembangunan.

“Dalam mengejar kemajuan sendiri, China turut menghulurkan tangan kepada komuniti global. Kami membuka pintu lebih luas untuk berkongsi peluang pembangunan dan mengalu-alukan rakan dari seluruh dunia sekali gus menyuntik kestabilan dan tenaga positif yang amat diperlukan kepada dunia,” katanya di sini baru-baru ini.

Zheng berkata demikian dalam satu pertemuan dengan media Malaysia baru-baru ini yang terdiri daripada alumni program China Asia Pacific Press Centre (CAPPC) anjuran Pusat Komunikasi Akhbar Antarabangsa China (CIPCC).

GCI memperjuangkan kepelbagaian tamadun, nilai-nilai kemanusiaan, kepentingan warisan dan inovasi tamadun serta pertukaran dan kerjasama kukuh di antara rakyat.

Diasaskan oleh Presiden Xi Jinping pada Mac tahun lalu, GCI memperjuangkan agar negara-negara mendukung prinsip kesaksamaan, pembelajaran bersama, dialog dan keterangkuman antara tamadun serta membenarkan pertukaran budaya, pembelajaran dan kewujudan bersama.

Dari segi ekonomi, Zheng berkata sebagai pemain penting bagi pembangunan global dan rakan dagangan utama untuk lebih 40 negara, China akan terus berkongsi lebih banyak faedah dengan dunia.

Beliau berkata China telah membawa kesan positif yang ketara kepada ekonomi dunia, dengan pertumbuhan mantap dan kukuh serta menyumbang kepada kestabilan ekonomi dunia, meningkatkan perdagangan antarabangsa, mengekalkan rantaian bekalan global dan memerangi inflasi.

“Kami yakin China akan terus mencipta lebih banyak peluang untuk dunia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan