AM

Peranan Radio Sebar Maklumat, Hibur Dan Didik Masyarakat Dihargai - Fahmi

13/02/2024 04:39 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Peranan radio sebagai alat penyampaian maklumat, hiburan dan pendidikan ke setiap pelosok masyarakat sememangnya sukar dinafikan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyampaikan penghargaan tersebut bersempena sambutan Hari Radio Sedunia hari ini.

"Seabad menyampai maklumat, menghibur dan mendidik," kata Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menerusi catatan di akaun X beliau. 

Hari Radio Sedunia disambut pada 13 Feb setiap tahun bagi menghargai peranan radio sebagai medium penyampai maklumat selain menjadi platform hiburan dan industri muzik di seluruh dunia.

Turut mengucapkan Selamat Hari Radio Sedunia adalah Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menerusi satu klip video yang dimuat naik di akaun Instragram beliau. 

Dalam klip video berdurasi 27 saat itu, Teo turut berkongsi beliau gemar mendengar siaran radio Ai FM iaitu sebuah stesen berbahasa Cina yang dikendalikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) kerana mempunyai banyak maklumat serta menyiarkan lagu-lagu menarik. 

Teo berkata sebagai rakyat Malaysia, beliau juga mendengar lagu-lagu Melayu menerusi Nasional FM atau KLFM selain lagu Tamil menerusi stesen Minnal FM.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Radio Sedunia kepada semua warga kerja di stesen radio,” kata Teo.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan