AM

BOMBA: WASPADA BERKHEMAH TEPI SUNGAI SEPANJANG MUSIM MTL

13/02/2024 09:34 AM

SIBU,13 Feb (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengingatkan orang awam yang ingin mengadakan aktiviti riadah di tebing sungai agar sentiasa berwaspada dan peka kepada perubahan air sungai di sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.

Ketua Bomba Zon Sibu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Andy Alie berkata ini bagi mengelakkan mereka terdedah kepada bahaya kejadian kepala air.

Katanya tanda-tanda awal akan berlakunya kejadian kepala air ialah apabila paras air yang meningkat dengan cepat, perubahan warna air, kederasan arus dan keberadaan puing-puing asing yang timbul di permukaan air.

Menurut beliau sekiranya tanda-tanda awal itu dikesan mereka perlu segera mengambil langkah keselamatan dengan berpindah ke kawasan lebih selamat dan menghubungi pihak bomba.

“Nasihat saya kepada orang awam supaya berhati-hati ketika menjalankan aktiviti perkelahan, khususnya sepanjang musim Monsun Timur Laut ini. Mereka perlu tahu stituasi cuaca semasa dan memastikan tapak perkhemahan didirikan di jarak selamat dari tepi sungai,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas kejadian sembilan keluarga dari Bintulu yang beriadah dengan berkhemah serta bermalam di tepi Sungai Yong di Kapit yang terperangkap dalam kejadian kepala air pada Ahad lepas.

Andy berkata orang awam juga diminta memaklumkan balai polis berhampiran sekiranya hendak melakukan aktiviti berkhemah atau beriadah di kawasan sungai atau lokasi rekreasi air yang bukan kawasan rekreasi awam.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan