SUKAN

BATC MEDAN UJI KECERGASAN TZE YONG

12/02/2024 01:03 PM

SHAH ALAM, 12 Feb (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong yang mengalami kecederaan belakang pada Terbuka Malaysia Januari lepas berkemungkinan diturunkan menentang Brunei dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024, esok.

Jurulatih badminton perseorangan lelaki negara Hendrawan seolah-olah "memberi bayangan" pemain ranking ke-15 dunia berkenaan akan dipilih barisan kejurulatihan untuk diturunkan pada perlawanan pertama itu.  

“Persiapan semua pemain baik, namun mungkin Tze Yong lebih istimewa kerana ini kejohanan pertama selepas kecederaan. Tze Yong nampak baik semasa latihan walaupun belum 100 peratus (cergas). 

“ … jadi kalau nak lihat dia cergas, kena tengok dalam perlawanan pertama nanti pasti akan nampak,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini. 

Hendrawan turut mengakui menjadi juara kumpulan B pastinya memberi kelebihan kepada negara dalam undian peringkat suku akhir perlawanan. 

Sementara itu, Tze Yong mengakui teruja untuk beraksi dalam BATC 2024 selepas melalui proses pemulihan selama sebulan tanpa menyertai mana-mana kejohanan dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF). 

Beliau berharap kehadirannya pada edisi ini sebagai pemain lebih pengalaman mampu membantu untuk menyumbang mata berharga buat pasukan Malaysia. 

“Saya mahu main semua perlawanan kalau keadaan badan saya baik. Tiada siapa yang mahu kalah jadi saya mahu sumbang satu mata kerana setiap mata sangat penting,” katanya. 

Tze Yong terpaksa menarik diri daripada pusingan pertama Terbuka Malaysia ketika ketinggalan 8-12 dalam set pertama menentang Koki Watanabe dari Jepun pada Januari. 

Pada edisi kali ini, Malaysia yang turun sebagai juara bertahan kategori berpasukan lelaki diundi bersama Brunei, Kazakhstan dan Taiwan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan