AM

Ipr-intan: Tilapia Mudah Diurus, Cepat Besar

12/02/2024 10:50 AM

Oleh Norhayati Mohd Akhir

SERDANG 12 Feb (Bernama) -- Spesies ikan yang mudah diuruskan, memiliki daya tahan tinggi dan cepat membesar menjadi faktor tilapia merah dijadikan ikan ternakan dalam sangkar untuk diusahakan peserta  projek Inisiatif Pendapatan Rakyat Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) bagi sektor akuakultur di Pusat Pembenihan Ikan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Berkongsi mengenai projek berkenaan, Pensyarah Kanan Fakulti Pertanian UPM Dr Fadhil Syukri berkata lima peserta IPR-INTAN yang juga kumpulan pertama projek itu, sedang mengusahakan ternakan tilapia dalam sangkar pada Disember lepas.

“Mereka ini telah mengikuti kelas bimbingan pada November dan Disember lepas. Bila kita pasti mereka betul-betul faham, baru mula dengan latihan amali iaitu menguruskan ikan dalam sangkar pada Disember.

“Kita mula dengan ikan tilapia, ketika itu saiz (ketika dilepaskan dalam sangkar) antara dua dan tiga inci. Satu sangkar kita lepaskan 2,000 ekor anak ikan,” katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Pembenihan Ikan UPM baru-baru ini.

IPR-INTAN merupakan strategi serampang dua mata dengan sasaran meningkatkan pendapatan peserta dan memberi pendedahan tentang pertanian pintar berteraskan Internet Kebendaan (IoT).

Fadhil yang berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang pembenihan ikan itu berkata setiap peserta ketika ini dipertanggungjawab menjaga empat sangkar tilapia dan menjangkakan ikan-ikan tersebut  mencapai saiz antara 400 dan 500 gram pada April atau Mei ini.

“Bila ikan-ikan sudah capai saiz besar, maka kita anggar seorang peserta akan urus lapan sangkar ikan. Keseluruhannya, kita target 1,000 ekor dalam satu sangkar,” katanya yang mempunyai kepakaran dalam bidang genetik akuakultur dan pembiakbakaan.

Beliau berkata ketika ini setiap peserta perlu memberi ikan makan tiga kali sehari, namun tidak lama lagi pihak UPM akan menggunakan mesin makanan ikan automatik selaras dengan objektif IPR-INTAN iaitu pertanian pintar berteraskan IoT.

“Kita mahu menggalakkan peserta guna elemen IoT. Bila ada mesin makanan automatik, ikan-ikan akan diberi makanan iaitu dedak ikut kesesuaian contohnya tiga atau empat jam sekali. Bila kerap bagi makan, ikan tidak lapar dan bantu tumbesaran,” katanya menambah dedak tersebut diperbuat daripada campuran baja ikan, serbuk ikan, jagung dan soya.

Mengenai potensi pasaran tilapia yang diusahakan peserta IPR-INTAN itu, Fadhil berkata spesies berkenaan menjanjikan pendapatan lumayan buat peserta kerana ia sentiasa mendapat permintaan di pasaran negara.

“Tilapia ini nanti kita tolak RM10. Satu sangkar boleh dapat hasil hingga satu tan, jadi satu sangkar dianggarkan dalam RM10,000 hasil jualan,” katanya.

Berkongsi perancangan masa depan, Fadhil berkata untuk tempoh beberapa bulan akan datang, kumpulan peserta IPR-INTAN yang baharu berkemungkinan mengusahakan ikan patin dan siakap air tawar dalam sangkar.

“Insya-Allah banyak penyelidikan yang UPM akan buat pada masa depan dan kami akan hasilkan lebih banyak benih ikan yang boleh dimanfaatkan peserta IPR-INTAN,” katanya.

Mengenai proses penyertaan IPR-INTAN, beliau berkata program itu terbuka kepada golongan miskin tegar dan B40 yang ingin meneroka teknologi baharu dalam bidang pertanian dan mendapatkan bimbingan daripada pakar bidang pertanian pintar UPM dalam meningkatkan pendapatan masing-masing.

Katanya, kira-kira sembilan pensyarah UPM dari pelbagai fakulti antaranya Fakulti Pertanian, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Perubatan Veterinar serta Sekolah Perniagaan dan Ekonomi dipertanggungjawab untuk mengendalikan kelas bimbingan kepada peserta IPR-INTAN.

“Kemasukan adalah percuma. Semua peserta akan didedahkan dengan pelbagai ilmu bagi membantu mereka menjadi petani atau penternak yang berjaya,” katanya.

Pada 24 Feb lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023, berkata kerajaan akan melaksanakan IPR dengan peruntukan RM750 juta kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan program berkenaan.

Program tersebut menyasarkan peserta dari keluarga miskin tegar dan B40 meraih pendapatan antara RM2,000 dan RM2,500 sebulan, dalam tempoh pemantauan 24 bulan, seterusnya menjana pendapatan sendiri melalui hasil yang diperoleh. 

Pada 24 Julai lepas, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli telah merasmikan IPR-INTAN@UPM yang menyasarkan 40 peratus peserta dari golongan graduan universiti dan 60 peratus peserta IPR serta e-Kasih.

Pada majlis perasmian itu, Naib Canselor UPM Datuk Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata kerajaan telah melabur sebanyak RM31.5 juta dari segi infrastruktur tanaman dan ternakan ikan di Pusat Kecemerlangan Industri Pertanian seluas 26.30 hektar di Ladang Puchong, UPM.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan