EKONOMI

Lgms Akan Lancarkan Model Berasaskan Langganan Untuk Pks

11/02/2024 01:02 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Firma pakar runding keselamatan siber LGMS Bhd memperkenalkan penyelesaian berasaskan langganan yang menyasarkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sebagai model perolehan baharu kepada syarikat.

Pengerusi Eksekutifnya Fong Choong Fook berkata pelancaran penyelesaian StarSentry itu adalah pada suku kedua 2024.

“Penyelesaian inovatif ini direka untuk membolehkan PKS meningkatkan langkah keselamatan siber dengan mudah dan berkesan.

“Dengan reka bentuk pasang dan pakai, StarSentry diintegrasikan dengan lancar ke rangkaian pengguna, menganalisis secara automatik semua peranti yang disambungkan untuk mengesan kerentanan. Pendekatan proaktif ini dijangka dapat meningkatkan piawaian keselamatan siber PKS Malaysia dengan ketara,” katanya dalam kenyataan.

Platform buatan Malaysia StarSentry ini telah menerima pengiktirafan, dinobatkan sebagai "Inovasi Produk Keselamatan Siber Terbaik Tahunan" di Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2023.

LGMS, yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia berkata, ia telah melaksanakan transformasi untuk memanfaatkan model perniagaan berpusatkan platform selain meneruskan pendekatan berasaskan perkhidmatan tradisionalnya.

“Perolehan utama kumpulan lazimnya adalah berasaskan perkhidmatan, dengan pencegahan risiko siber yang menyumbang kira-kira satu perempat daripada perolehan keseluruhan, diikuti oleh pengurusan risiko siber dan pematuhan bersama terhadap ancaman siber dan tindak balas insiden.

"Menerusi model langganan yang disediakan ini, LGMS bersedia untuk merealisasikan aliran perolehan yang konsisten, tawaran perkhidmatan berskala dan potensi kepada penglibatan dan sokongan pelanggan baharu," kata Fong.

Sejajar dengan pelancaran StarSentry, syarikat berada di peringkat lanjutan untuk membangunkan bot  kecerdasan buatan (AI) terkini, satu langkah yang bersedia untuk merevolusikan keselamatan siber menerusi automasi.

“Bot AI kami kelak merupakan pengubah keadaan, direka untuk meningkatkan usaha keselamatan siber dengan kecekapan yang tiada tandingan. Ia menawarkan kemampuan untuk mengesan ancaman yang dipertingkat, membolehkan respons masa nyata terhadap insiden keselamatan,” katanya.

Menurut Fong, langkah ini mengurangkan keperluan kepada intervensi manual sekali gus memperkemas operasi dan memastikan kewaspadaan yang berterusan.

"Dengan mengintegrasikan AI lanjutan, kami bukan sahaja menangani cabaran keselamatan semasa, malah mengekalkan kesinambungan masa hadapan penyelesaian keselamatan siber kami demi kebaikan pelanggan yang lebih meluas," katanya.

 Sementara itu, Naib Presiden Kanan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Gopi Ganesalingam berkata, teras LGMS terhadap model perniagaan berasaskan langganan dan berpusatkan platform, yang diterajui oleh inovasi seperti StarSentry dan bot AI kelak, meletakkan syarikat itu di barisan hadapan penyelesaian keselamatan siber di Malaysia.

“Transformasi strategik ini bukan sahaja berupaya mempertingkatkan keselamatan PKS, malah membuka aliran perolehan baharu kepada LGMS, menandakan lembaran baharu dalam trajektori pertumbuhannya,” katanya sambil melahirkan rasa bangga berikutan LGMS merupakan sebahagian daripada inisiatif GAIN (Gateway, Amplification,Investor, Nurture) di bawah MDEC.

GAIN diwujudkan untuk mendorong kehadiran syarikat Malaysia di arena global, bermula dengan rantau Asean. Ditubuhkan pada 2015, inisiatif ini telah melibatkan lebih 400 usahawan di seluruh negara di samping menggalakkan syarikat pemula niaga asing untuk berhijrah ke Malaysia.

“Terletak dalam satu daripada ekonomi Internet paling pesat berkembang di dunia, GAIN memanfaatkan asas kos agresif, bakat dan kesalinghubungan Malaysia ke rantau ini. Inisiatif ini memberikan tumpuan kepada akses pasaran, kebolehlihatan, meningkatkan modal dan mendorong syarikat untuk tampil sebagai peneraju industri dalam bidang masing-masing,” kata Gopi.

Sementara itu, Kenanga Research telah memberikan saranan “beli sederhana” kepada LGMS dengan harga sasaran RM1.16.

“LGMS memperkenalkan produk keselamatan siber PKS secara pasang dan pakai yang mampu milik, dikenali sebagai StarSentry pada suku kedua 2024. Dengan tawaran berasaskan langganan yang unik,  produk ini akan menjadi sumber pendapatan berterusan kepada LGMS,” kata Penganalisis Ekuiti Kanan Kenanga, Samuel Tan menerusi nota.

Beliau berkata Kenanga memilih LGMS berikutan tiga faktor -- prospek pertumbuhan tinggi bagi perniagaan teras keselamatan sibernya memandangkan pasaran keselamatan siber tempatan dan serantau yang kurang ditembusi, pertahanan kukuh terhadap perniagaannya berikutan halangan tinggi untuk kemasukan disebabkan proses kelayakan yang rumit sebagai vendor, dan perisian pensijilan proprietari baharu yang dijangka menjadi pemacu pendapatan selanjutnya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan